PDRM, UKM buat kajian kesan NPS baharu dalam dadah

PDRM, UKM buat kajian kesan NPS baharu dalam dadah



rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahan Psikoaktif Baharu (NPS) dalam penghasilan dadah menjadi cabaran baharu buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani jenayah narkotik di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, NPS yang diproses dan dijual oleh sindiket pengedaran dadah mempunyai struktur baharu berikutan perubahan prinsip kimia.

Beliau berkata, perubahan itu membuatkan NPS tidak dapat dikesan dan dikenalpasti menggunakan teknik pengecaman dadah yang konvensional.

Bagi membanteras jenayah narkotik yang semakin kompleks itu, katanya, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menjalankan kajian serta latihan berkaitan.

“Kerjasama ini membabitkan beberapa aspek berbeza bagi membolehkan objektif dicapai antaranya membolehkan asal usul bahan narkotik khususnya NPS dikesan secara forensik, memahami dos dan kesan ketagihannya.

“Antara lain mewujudkan sistem maklumat forensik molekul bagi NPS, membolehkan NPS dikesan dan dikenalpasti dengan mudah di lapangan serta mengesan kehadiran bahan narkotik khususnya NPS di sampel air kumbahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan nota syarahan di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Syarahan Prof Adjung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JSJN dan UKM juga sedang menjalankan kajian termasuk membangunkan keupayaan dan proses kerja makmal bagi mengenalpasti struktur kimia NPS serta menggunakan keupayaan pengenalpastian struktur kimia baharu bagi menentukan asal usul NPS yang boleh menambah baik risikan operasi.

“Usahasama ini juga membabitkan pembangunan pangkalan data dan sistem maklumat bagi menyimpan data forensik molekul NPS serta statistik jenayah narkotik bagi urusan analitik data raya termasuk penerapan kecerdasan buatan (AI).

“Analitik data raya sebegini juga dijangka akan membolehkan peramalan keberkesanan operasi dan seterusnya merumuskan pendekatan bagi peningkatan kecekapan operasi serta mengenalpasti keperluan JSJN untuk meningkatkan keupayaan risikan operasi,” katanya.

Beliau berharap kerjasama terbabit dapat memberi halatuju yang jelas kepada PDRM dan JSJN bagi sentiasa berada di hadapan dalam usaha memerangi jenayah narkotik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top