sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan sangat terharu sehingga menangis kerana pasangannya, M Thinaah memberikan segala tenaga dan komitmen dalam perlawanan suku akhir pada Seluruh England, semalam.
Bagi Pearly, dirinya menyedari dia tidak boleh menampilkan prestasi seperti biasa ekoran kecederaan buku lali yang dialaminya ketika pusingan kedua sebelum ini, namun atas semangat perjuangan bersama, dia tetap beraksi meskipun bukan 100 peratus.
Dalam perlawanan itu, dia melihat rakannya, Thinaah begitu bersemangat untuk cuba mengurangkan segala pergerakan bagi mengelak dirinya mengalami kecederaan lebih teruk.
“Saya gembira sebab dapat bermain sampai habis tapi paling penting adalah bukan saya tapi pasangan saya (Thinaah), dia lari (mengawal keseluruhan gelanggang),” katanya.
Dalam aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Thinaah memaklumkan pada awalnya mereka bersetuju untuk menarik diri tetapi selepas berbincang, mereka tetap meneruskan permainan.
“Masa pergi ke gelanggang pun, kami tidak betul-betul memanaskan badan, asyik berbual dan saling menyokong antara satu sama lain. Namun, ini Seluruh England, rasa rugi kalau tidak main,” katanya.
Pujian juga perlu diberikan kepada pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama yang tidak menggunakan kekurangan itu sebagai senjata utama, sebaliknya lebih memilih Thinaah untuk mereka mendapatkan mata.
Sebelum itu, aksi Thinaah menggendong pasangannya selepas tamat pusingan kedua juga mendapat pujian ramai peminat dan dia membuktikan erti persahabatan sejati.
© New Straits Times Press (M) Bhd