Pearly-Thinaah mara ke pusingan kedua Masters China selepas singkir beregu Indonesia.
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan – M Thinaah bermula cemerlang pada aksi pusingan pertama Masters China Super 750 apabila menyingkirkan pasangan muda Indonesia, Febriana Kusuma–Meilysa Puspitasari dalam pertarungan sengit tiga set di Shenzhen Arena pada Rabu.
Beregu nombor dua dunia itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan dalam tempoh 73 minit.
Kejayaan tersebut turut melanjutkan rekod pertemuan Pearly–Thinaah kepada 2-0 ke atas pasangan dari seberang berkenaan.
Set pertama berlangsung dramatik apabila Pearly–Thinaah tewas tipis 20-22 selepas melakukan beberapa kesilapan di mata penamat.
Namun, naib juara dunia itu bangkit garang pada set kedua dengan corak permainan lebih agresif untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-16.
Set ketiga pula penuh mendebarkan apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata sehingga ke hujung permainan sebelum Pearly–Thinaah menutup aksi dengan kemenangan 22-20.
Pada pusingan kedua, Pearly–Thinaah bakal berdepan wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett–Jennie Gai.
Turut mara ialah beregu wanita negara, Ong Xin Yee–Carmen Ting, selepas menundukkan wakil India, Rutaparna Panda–Sweetaparna Panda.
Gandingan ranking dunia ke-35 itu hanya memerlukan 28 minit untuk menyingkirkan pasangan ranking ke-33 dunia menerusi kemenangan straight set, 21-8, 21-13.
Kemenangan itu memastikan Xin Yee–Carmen Ting menempah tempat dalam kelompok 16 terbaik untuk berdepan pilihan keenam, Baek Ha-na–Lee So-hee dari Korea Selatan.
Ringkasan AI
- Beregu wanita utama negara, Pearly Tan–M Thinaah bermula cemerlang pada aksi pusingan pertama Masters China Super 750 dengan menyingkirkan pasangan muda Indonesia
- Mereka memerlukan 73 minit untuk meraih kemenangan tersebut
- Rekod pertemuan Pearly–Thinaah kini 2-0 ke atas pasangan Indonesia tersebut
- Pasangan ini bangkit pada set kedua dengan permainan agresif setelah kalah tipis di set pertama dan akhirnya menang di set ketiga
- Pearly–Thinaah bakal berdepan wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett–Jennie Gai di pusingan kedua