PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah masih belum mampu keluar daripada kemerosotan prestasi yang membelenggu mereka setelah tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Gandingan yang kini menghuni ranking No. 5 dunia itu dikejutkan pasangan ke-12 dunia, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun dari Taiwan 21-9, 17-21, 17-21 dalam masa 50 minit.
Ini merupakan kekalahan pertama Pearly-Thinaah di tangan Yin Hui-Jhih Yun, daripada empat pertemuan membabitkan kedua-dua beregu.
Pearly-Thinaah yang kehilangan ranking No. 2 dunia selepas kecederaan belakang dialami Pearly, kini bergelut mendapatkan kembali momentum terbaik mereka.
Pearly sendiri mengakui tentang hakikat tersebut sewaktu ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas perlawanan berakhir, hari ini.
“Saya perlu mencari momentum itu semula dan apa yang penting pada ketika ini, saya bermain dalam keadaan selamat,” katanya.
Thinaah pula berkata, beregu Taiwan tersebut bermain dengan baik terutama dalam set kedua serta ketiga dan situasi itu mengundang tekanan kepada mereka.
Turut ditunjukkan jalan keluar ialah beregu ke-22 dunia Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tewas kepada gandingan No. 3 dunia, Baek Ha Na- Lee So Hee dari Korea Selatan 12-21, 18-21 dalam masa 46 minit.
Xin Yee-Carmen yang belum pernah bertemu Ha Na-So Hee dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, berusaha menghadirkan tentangan, tetapi, jurang kualiti masih belum mampu dikejar oleh beregu muda itu.
Hari suram Malaysia turut disumbang oleh empat lagi wakil negara yang turun lebih awal daripada dua beregu wanita dengan gandingan baharu, Chen Tang Jie-Clarissa San membuka tirai kerjasama mereka dengan kekalahan.
Tang Jie-Clarissa tunduk kepada beregu No. 20 dunia, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan 15-21, 19-21 dan rakan seperjuangan dalam sektor beregu campuran, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien juga tumpas di tangan gandingan No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China 13-21, 18-21.
Beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King pula kalah kepada wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 24-26, 21-15, 18-21, manakala, perseorangan wanita, Wong Ling Ching kecundang straight set kepada Pusarla V. Sindhu dari India 14-21, 11-21.
Satu-satunya keputusan positif yang dicatat pemain negara adalah menerusi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang menyingkirkan wakil Taiwan, Chi Yu Jen 21-19, 21-16 dalam masa 50 minit. – UTUSAN






