Rexy (kiri) optimis anak didiknya mampu mencabar jagoan dunia untuk meraih gelaran pada Kejohanan Dunia di Paris bulan depan. Foto Agensi
STATUS nombor dua dunia yang bakal menjadi milik beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencerahkan peluang buat mereka untuk meraih podium pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris bulan depan.
Keyakinan tersebut diluahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky yang percaya anak didiknya itu mampu mencabar jagoan dunia termasuk dari China untuk melakar keputusan positif pada kejohanan berprestij berkenaan.
Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ketiga dunia ketika ini akan naik satu anak tangga apabila kedudukan ranking dikemaskini pada Selasa.
“Usaha untuk berada di kedudukan kedua dunia bukan mudah. Mereka terpaksa bertarung menentang banyak pasangan teratas dari China, Korea Selatan dan Jepun.
“Ia benar-benar memerlukan usaha tambahan dan komitmen penuh,” ujar Rexy.
Pearly-Thinaah terkandas di peringkat separuh akhir selepas tewas di tangan gandingan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-14, 21-17 dalam aksi separuh akhir Terbuka China di Changzhou Sabtu lalu.
Kedudukan sebagai nombor dua dunia bukan hanya tentang pemain, sebaliknya ia adalah hasil kerja berpasukan daripada pengurusan, jurulatih, kakitangan sokongan dan sudah tentu, pemain itu sendiri.
“Saya harap mereka dapat meneruskan keyakinan dan membawa pulang pingat dari Kejohanan Dunia,” kata Rexy.
Menerusi status tersebut, Pearly-Thinaah dapat mengelak daripada bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam undian awal sehingga ke perlawanan akhir Kejohanan Dunia itu.
Namun mereka perlu mengatasi pasangan nombor tujuh dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang mempunyai rekod 4-1 ke atas pasangan negara.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah melakar keputusan positif setakat ini apabila menjuarai Terbuka Thailand, selain muncul naib juara Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun, serta mara ke separuh akhir di Malaysia Masters dan Terbuka China.