Pearly–Thinaah bakal berdepan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di pentas final.
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya menempah slot ke perlawanan akhir Masters Jepun sekali gus berpeluang menghidupkan peluang merangkul gelaran ketiga musim ini.
Pilihan utama kejohanan itu menampilkan aksi terbaik untuk menundukkan wakil tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 57 minit.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras apabila Fukushima-Matsumoto memberikan tentangan hebat, terutamanya pada penghujung set pertama.
Pasangan negara itu berjaya mengatasi tekanan dan melakar kemenangan 24-22 dalam set pertama.
Situasi hampir sama berulang pada set kedua. Walaupun Pearly-Thinaah sempat mendahului dengan selesa, gandingan Jepun yang juga pilihan ketiga kejohanan itu bangkit menghambat mata sebelum Pearly-Thinaah sekali lagi membuktikan ketenangan mereka dengan menutup perlawanan dengan kemenangan 23-21.
Menanti naib juara dunia itu di pentas final pada Ahad adalah satu lagi wakil tuan rumah yang juga pilihan keempat kejohanan, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.
Kejayaan ini membuka peluang terbaik buat Pearly-Thinaah untuk menambah koleksi kejuaraan musim ini, selepas sebelum ini memenangi Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland.
Mereka juga muncul naib juara di Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun sebelum ini.
Dalam pada itu, harapan untuk menyaksikan satu lagi wakil negara beraksi di pentas final tidak kesampaian apabila beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, akur tewas kepada gandingan tuan rumah Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dengan kekalahan straight set 12-21, 17-21.
Ringkasan AI
- BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya menempah slot ke perlawanan akhir Masters Jepun
- Menampilkan aksi terbaik untuk menundukkan wakil tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto
- Dipaksa bekerja keras, terutamanya pada penghujung set pertama tetapi berjaya mengatasi tekanan
- Menanti wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di pentas final
- Membuka peluang terbaik untuk menambah koleksi kejuaraan musim ini, selepas memenangi Terbuka Thailand dan Terbuka Artik di Finland






