Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) mengadakan sidang media mengenai kontrak baharu beregu wanita utama negara, Pearly Tan (kanan) dan M. Thinaah (kiri) di Akademi Badminton Malaysia hari ini. Foto Bernama
KEMELUT kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berlarutan sejak enam bulan lalu terlerai pada Khamis.
Ia apabila pasangan nombor tiga dunia itu menandatangani perjanjian baharu selama empat tahun sehingga 2028 yang merupakan tahun Sukan Olimpik Los Angeles.
Bagaimanapun nilai kontrak yang didakwa mencecah RM1 juta setahun setiap seorang itu tidak didedahkan dengan perjanjian kedua-dua pihak ditandatangani pada jam 6.31 petang.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan hasil perbincangan yang konstruktif.
“Ia juga hasil komitmen bersama untuk mencari jalan terbaik demi masa depan badminton negara.

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan (kiri) dan M. Thinaah (kanan) pada sidang meda di Akademi Badminton Malaysia hari ini. Foto Bernama
“Terma-terma kontrak tidak boleh dikongsi bagi menghormati kedua-dua pihak.
“Satu perkara yang saya boleh katakan, jika beraksi dengan baik, mereka patut diberi ganjaran yang lebih” katanya pada sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Khamis.
Gandingan itu akan menggalas cabaran negara dalam tiga kejohanan bermula Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai, sebelum turun beraksi di Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos depan.
Dalam pada itu Thinaah menghargai kepimpinan dan pengurusan BAM yang menyokong serta memahami situasi mereka.
“Ia bukan salah mana-mana pihak (melambatkan kontrak), tetapi jadual kejohanan kami yang sangat padat.
“Kami sangat lega, semua sudah selesai dan kini boleh fokus ke hadapan,” katanya.
Masa depan Pearly-Thinaah sebelum ini menimbulkan tanda tanya selepas belum menandatangani perjanjian baharu biarpun kontrak terdahulu berakhir pada Disember tahun lalu sekali gus mencetuskan spekulasi yang mengaitkan mereka akan bergerak secara profesional.
Sebagai rekod, dalam empat kejohanan terakhir, Pearly-Thinaah memperagakan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand, muncul naib juara Terbuka Indonesia, mara ke separuh akhir Malaysia Masters serta suku akhir Terbuka Singapura.