Pearly (kanan) dan Thinaah mengalahkan pasangan Jepun untuk mara ke suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat. Foto Agensi.
BEREGU wanita sensasi negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya memadam badi dua kali tersekat di pusingan kedua apabila mara ke suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Khamis.
Pasangan nombor tiga itu mudah mengalahkan Rui Hirokami-Sayaka Hobara secara set dalam saingan pusingan 16 terbaik kejohanan berstatus Super 1000 itu.
Mereka hanya memerlukan tempoh 38 minit untuk menumpaskan pasangan Jepun itu 21-17, 21-13 dalam aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
“Ia bukan perlawanan yang mudah kerana lawan juga adalah pasangan yang bagus, tetapi kami gembira kerana saling menenangkan antara satu sama lain dan mengawal beberapa pukulan.
“Harap momentum akan jadi lebih baik esok (Jumaat),” ujar Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pencapaian tersebut amat bererti buat Pearly-Thinaah apabila berjaya melepasi halangan pusingan kedua yang sebelum ini menjadi batu penghalang mereka pada dua edisi terakhir Terbuka China.
Di sebalik keputusan tersebut, Thinaah mengakui fizikal mereka sedikit terjejas kerana jadual padat, namun fokus mereka tetap tidak berubah.
“Kami mahu mengekalkan keyakinan kerana apa yang berlaku sebelum ini sudah berlalu. Fokus kami kini kepada kejohanan minggu ini. Selagi kami saling menyokong, tiada apa yang mustahil,” katanya.
Pearly turut meluah nada yang sama berasa sedikit kepenatan selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut selepas muncul naib juara Terbuka Jepun Ahad lalu, namun enggan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak pergi jauh.
“Pergerakan kami agak perlahan hari ini (Khamis), tetapi kami tetap saling menyokong antara satu sama lain dan berharap dapat bermain dengan lebih baik esok (Jumaat),” katanya.
Menanti Pearly-Thinaah dalam saingan suku akhir pada Jumaat ialah pemenang antara Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dari Indonesia dengan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi perebutan tiket ke separuh akhir.