Pearly-Thinaah kekal positif, alih tumpuan ke Paris

Pearly-Thinaah kekal positif, alih tumpuan ke Paris


Thinaah (kiri) – Pearly tekad bangkit dalam Kejohanan Dunia di Paris.

SEMANGAT beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak pernah luntur selepas tersingkir daripada saingan separuh akhir Terbuka China pada Sabtu.

Sebaliknya, dua kejohanan berturut-turut termasuk Terbuka Jepun minggu lalu menjadi pengalaman berharga buat mereka menuju Kejohanan Badminton Dunia di Paris, bulan depan.

Pasangan nombor tiga dunia itu tewas di tangan gandingan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-14, 21-17 di Changzhou.

“Kami akan ambil banyak pengajaran positif daripada dua kejohanan ini. Sama ada menang atau kalah, banyak pengalaman yang kami peroleh.

“Kami akan pulang, belajar dan perbaiki apa yang kurang untuk kejohanan seterusnya,” ujar Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Thinaah berkata, rentak permainan dibina hingga ke peringkat suku akhir, namun ia belum mencukupi.

“Masih ada ruang untuk kami perbaiki. Buat masa ini kami mahu rehat secukupnya dan bersedia untuk Kejohanan Dunia,” katanya.

Mengulas kekalahan kepada Yi Fan-Shu Xian, Thinaah menjelaskan permainan pantas dan keadaan gelanggang yang berangin menyukarkan mereka untuk menyesuaikan corak permainan sepanjang perlawanan.

“Sukar nak tukar daripada bertahan kepada menyerang kerana angin agak mengganggu hari ini (Sabtu).

“Namun kami tak mahu jadikan itu sebagai alasan. Ia satu pengajaran dan kami akan bincang dengan jurulatih untuk siapkan strategi yang lebih baik,” katanya.

Pearly dalam pada itu mengakui strategi lawan lebih berkesan ketika mengadaptasi keadaan gelanggang.

“Permainan mereka sangat baik, terutamanya membaca arah angin. Di set kedua kami cuba ubah strategi dan bermain menentang angin.

“Saya rasa kami mula bermain lebih baik, tetapi agak lewat. Jadi kami kena belajar dan bertindak lebih cepat selepas ini,” katanya.

Biarpun berada di kedudukan ranking lebih rendah, pasangan China di tangga ketujuh dunia itu jelas mempunyai kelebihan dengan rekod kemenangan meningkat 4-1 berpihak Yi Fan-Shu Xian.



Source link

OR

Scroll to Top