Cabaran Pearly-Thinaah dalam Masters China Super 750 terhenti di suku akhir.
HASRAT beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk mara ke separuh akhir Masters China Super 750 sekali lagi tidak kesampaian apabila tumbang kepada gandingan Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee, pada aksi suku akhir di Shenzhen Arena pada Jumaat.
Pertarungan penuh dramatik selama 88 minit itu memperlihatkan Pearly-Thinaah berjuang habis-habisan sebelum akur dengan kekalahan tipis 21-23, 21-19, 20-22.
Pasangan ranking kedua dunia itu bangkit garang selepas tewas set pertama dengan menguasai set kedua 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Namun, pengalaman serta ketenangan Ha-na-So-hee di mata-mata penting memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas menoktahkan mata ke-22.
Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan kempen Pearly-Thinaah di Shenzhen, malah mengukuhkan rekod pertemuan memihak kepada pasangan Korea berkenaan dengan kelebihan 5-1.
Meskipun gagal melangkah lebih jauh, aksi penuh semangat ditampilkan Pearly-Thinaah jelas membuktikan mereka mampu menyaingi gandingan elit dunia dan hanya kekurangan sentuhan penyudah pada detik-detik penentu.
Lebih mencuri perhatian, ini merupakan tahun ketiga berturut-turut cabaran Pearly-Thinaah berakhir di peringkat suku akhir Masters China.
Pada edisi 2024, mereka dikecewakan beregu tuan rumah, Liu Shengshu-Tan Ning, dengan kekalahan straight set 16-21, 17-21.
Kempen 2023, pasangan negara itu turut terkandas selepas tumpas 11-21, 21-15, 20-22 kepada gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong.
Ringkasan AI
- HASRAT beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk mara ke separuh akhir Masters China Super 750 tidak kesampaian apabila tumbang kepada gandingan Korea Selatan
- Pertarungan berlangsung selama 88 minit dengan skor akhir 21-23, 21-19, 20-22
- Pasangan Malaysia itu bangkit di set kedua setelah tewas pada set pertama
- Kemenangan gandingan Korea Selatan dipastikan dengan kelebihan pengalaman di mata penentu
- Kekalahan ini menandakan berakhirnya kempen Pearly-Thinaah di Shenzhen dan mengukuhkan rekod pertemuan 5-1 memihak kepada pasangan Korea Selatan