Thinaah (kiri) dan Pearly akan berdepan pasangan Korea Selatan dalam aksi final Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad. Foto Agensi
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tiada masalah untuk mara ke saingan akhir Terbuka Thailand di Bangkok sebentar tadi.
Pilihan pertama kejohanan itu mudah mengenepikan cabaran gandingan ke-244 dunia, Rui Hirokami-Sayaka Hobara secara straight dalam aksi separuh akhir.
Dalam aksi di Stadium Nimibutr tersebut, Pearly-Thinaah disaing sengit oleh pasangan Jepun itu, namun pengalaman memisahkan mereka untuk menang set pertama 21-18.
Gandingan negara kemudian meneruskan konsistensi dalam permainan sebelum mengesahkan kemenangan 21-12 dalam masa 46 minit.
Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran Jeong Na-eun dan Lee Yeon-woo dari Korea Selatan yang mengalahkan wakil Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan 21-17, 21-19 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Sebagai rekod, ia merupakan pentas final kedua buat pasangan nombor lima dunia itu selepas muncul naib juara Masters Indonesia awal tahun ini.