Pearly-Thinaah mulakan langkah kanan di Kejohanan Dunia

Pearly-Thinaah mulakan langkah kanan di Kejohanan Dunia


aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kekal konsisten, kekal fokus, saling mempercayai,” Itu antara kunci kejayaan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila mudah menempah tiket ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia selepas menundukkan pasangan Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan, sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, gandingan ranking kedua dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-14, sekali gus memastikan tiket ke pusingan seterusnya menjadi milik mereka.

Kejayaan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah memulakan kempen dunia dengan langkah kanan selepas menerima bye di pusingan pertama. Mereka tampil cukup yakin dengan kawalan gelanggang kemas dan pukulan bertenaga yang sukar ditangani lawan.

Namun Thinaah mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki walaupun berpuas hati dengan kemenangan itu.

“Sejujurnya, ya kami gembira dengan kemenangan itu tetapi masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki. Saya rasa ini adalah perlawanan pertama di sini, di Paris, jadi kami perlu belajar daripadanya dan kemudian berbincang sedikit lagi sebelum meneruskan perlawanan esok,” katanya.

Menyentuh mengenai keadaan gelanggang, Pearly berkata keadaan bulu tangkis agak perlahan tetapi berjaya diatasi dengan strategi berkesan.

“Saya rasa bulu tangkis agak perlahan di sini, tetapi bukan sahaja kami, pihak lawan juga begitu. Jadi saya rasa strategi kami berjaya dengan baik hari ini dan kami berharap dapat mengekalkan momentum ini untuk perlawanan esok,” katanya.

Sementara itu, Thinaah menegaskan mereka tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian setakat ini.

“Dari segi kejohanan, prestasi kami agak baik, tetapi kami juga mengalami pasang surut semasa latihan sebelum datang ke Kejohanan Dunia. Tetapi, sekarang kejohanan bermula, kami berasa sangat teruja. Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini, tetapi kami masih perlu fokus pada perlawanan esok.

“Jadi kami hanya mahu berehat dengan baik, makan dengan baik, tidur dengan baik dan bersedia semula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top