Pearly–Thinaah perlu kekalkan momentum Finland – Tengku Zafrul

Pearly–Thinaah perlu kekalkan momentum Finland – Tengku Zafrul

Pearly–Thinaah perlu kekalkan momentum Finland – Tengku Zafrul


Pearly-Thinaah juara Terbuka Artik Super 500. Foto Badminton Association of Malaysia – BAM

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengingatkan beregu wanita utama negara, Pearly Tan–M Thinaah supaya tidak leka selepas mencipta sejarah di Finland, sebaliknya terus mengekalkan momentum untuk membawa pulang lebih banyak kejuaraan pada musim ini.

Menurut beliau, kejayaan gandingan muda negara itu menjuarai Terbuka Artik Super 500 bukan sekadar membanggakan Malaysia, malah membuktikan kemampuan sebenar mereka bersaing di pentas dunia.

“Sejarah terukir di Finland! Tahniah kepada wira-wira negara, Pearly dan Thinaah, yang menjadi beregu wanita Malaysia pertama menjulang kejuaraan Terbuka Artik.

“Prestasi mereka menakjubkan semangat juang, fokus dan kerja keras terbukti membuahkan hasil.

“Momentum ini perlu diteruskan agar mereka terus membawa pulang lebih banyak kejayaan untuk Malaysia,” katanya pada Ahad.

Pearly–Thinaah menutup kempen dengan penuh bergaya apabila menundukkan pasangan Jepun, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi, 21-7, 21-9 hanya dalam tempoh 32 minit di Energia Arena, Vantaa.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menjadikan mereka beregu wanita Malaysia pertama memenangi kejohanan tersebut, malah mengukuhkan status mereka sebagai antara pasangan paling konsisten dalam siri jelajah dunia musim ini.

Kejayaan di Finland turut melakar sejarah tersendiri apabila Pearly–Thinaah buat kali pertama menjuarai dua kejohanan Siri Jelajah Dunia dalam satu musim, selepas turut meraih gelaran Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Selain itu, mereka juga menamatkan saingan sebagai naib juara di empat kejohanan utama Indonesia Masters (Januari), Terbuka Indonesia (Jun), Terbuka Jepun (Julai) dan Kejuaraan Dunia di Paris (Ogos).

Ringkasan AI

  • PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memuji kejayaan Pearly Tan–M Thinaah di Finland
  • Beregu wanita Malaysia, Pearly–Thinaah, menjadi yang pertama menjuarai Terbuka Artik Super 500
  • Prestasi cemerlang mereka dilihat sebagai bukti kemampuan bersaing di pentas dunia
  • Pasangan itu mengalahkan Rin Iwanaga–Kie Nakanishi dari Jepun dengan skor 21-7, 21-9 dalam masa 32 minit
  • Pearly–Thinaah mencipta sejarah dengan menjuarai dua kejohanan Siri Jelajah Dunia dalam satu musim dan menjadi naib juara di empat kejohanan utama lain



Source link

OR

Scroll to Top