Pearly-Thinaah terlepas gelaran Indonesia Masters

Pearly-Thinaah terlepas gelaran Indonesia Masters


Pearly (kiri) dan Thinaah tewas kepada pasangan Korea Selatan dalam aksi final Indonesia Masters di Jakarta pada Ahad. Foto Xinhua.

IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk meraih gelaran Indonesia Masters 2025 di Jakarta sebentar tadi tidak kesampaian.

Mereka yang turun selaku pilihan kedua kejohanan tumpas kepada Kong Hee-yong dan Kim Hye-jeong dalam aksi final kejohanan berstatus Super 500 itu.

Pearly-Thinaah yang berstatus ketujuh dunia dilihat terperangkap dengan ‘smash’ pasangan dari Korea Selatan yang menang set pertama 21-12.

Mereka kemudian bangkit memperkemaskan corak permainan sebelum menang 21-17 bagi melanjutkan saingan ke set penentuan.

Debaran kian dirasai di Istora Senayan apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata, namun kemenangan berpihak Hee-yong dan Hye-jeong 21-18 dalam masa 74 minit permainan.

Menerusi keputusan tersebut Pearly-Thinaah membawa pulang AS$18,050 (RM79,022) setelah bergelar naib juara, manakala Hee-yong dan Hye-jeong yang berkedudukan ke-15 dunia meraih AS$37,525 (RM164,284).

Bagaimanapun pujian wajar diberikan kepada pasangan negara apabila mara ke pentas akhir setelah tersingkir kepada lawan sama dalam saingan separuh akhir Terbuka India minggu lalu.

Malah Pearly-Thinaah juga tidak bernasib baik apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia 2025.

Keputusan tersebut juga memusnahkan impian mereka untuk meraih gelaran keempat Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, tiga kejuaraan yang dimenangi Pearly-Thinaah sebelum ini adalah Terbuka Switzerland 2021, Terbuka Perancis 2022 dan Terbuka Hong Kong 2024.



Source link

OR

Scroll to Top