Thinaah- Pearly mara separuh akhir Terbuka Artik Super 500 selepas menewaskan Lambert–Pognante di Energia Arena, Vantaa, Finland pada Jumaat.
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan aksi cemerlang di kejohanan Terbuka Artik Super 500 apabila mara ke peringkat separuh akhir selepas menundukkan gandingan Perancis, Margot Lambert–Camille Pognante, dalam aksi suku akhir di Energia Arena, Vantaa pada Jumaat.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu mencatat kemenangan meyakinkan 21-11, 21-19 dalam masa 34 minit, sekali gus mengekalkan rekod kemenangan bersih 2-0 ke atas pasangan Perancis berkenaan.
Pearly-Thinaah yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Ogos lalu dan naib juara edisi Terbuka Artik 2024, tampil lebih kemas serta mendominasi set pertama dengan strategi pukulan yang tajam dan pantas.
Walaupun Lambert-Pognante cuba bangkit pada set kedua dengan corak permainan agresif, beregu negara kekal tenang dan fokus untuk menamatkan perlawanan dengan bergaya, sekali gus menempah slot ke separuh akhir.
Gandingan Malaysia itu bakal menanti pemenang antara beregu China, Bao Li Jing–Zheng Shu Xian dan pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan–Hung En Tzu dalam usaha memburu tempat ke pentas final.
Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terkandas di peringkat suku akhir beregu campuran selepas tewas kepada pilihan ketiga kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran 12-21, 14-21.
Perlawanan selama 34 minit itu menyaksikan Goh-Shevon gagal menyaingi rentak pantas pasangan Thailand, sekali gus merekodkan kekalahan keenam daripada sembilan pertemuan.
Ringkasan AI
- BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka Artik Super 500
- Mereka menang lawan Margot Lambert-Camille Pognante dari Perancis dengan keputusan 21-11, 21-19
- Pearly-Thinaah adalah pemenang pingat perak Kejohanan Dunia dan naib juara Terbuka Artik tahun lalu
- Mereka tampil tenang dan tajam, kekal fokus meskipun lawan cuba bangkit pada set kedua
- Seterusnya akan berdepan cabaran dari beregu China atau Taiwan untuk tempat ke final