Umar dipilih galas cabaran negara dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Jepun. Foto Bernama
PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim mengesahkan atlet pecut 400 meter negara, Umar Osman akan beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia 2025 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun dari 13 hingga 21 September ini.
Umar, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09 saat dipilih menerusi slot wildcard selepas tiada atlet negara berjaya melayakkan diri secara merit ke kejohanan berprestij tersebut.
“Pemilihan Umar dibuat berdasarkan prestasi konsisten sepanjang tahun ini, termasuk kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta potensinya di pentas dunia,” katanya.
Antara pencapaian terbaik Umar tahun ini ialah catatan 46.25 saat pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan pada Mei lalu.
Karim turut menegaskan bahawa penyertaan pelari kelahiran Johor berusia 22 tahun itu di Tokyo diyakini mampu menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyemarakkan semangat juang atlet negara.