Adam Adli (duduk, tengah) bersama para peserta daripada PSK yang menyertai program latihan khas untuk pegawai-pegawai ‘focal point’ Kod Sukan Selamat di Kuala Lumpur pada Isnin. – Foto MSN
MAJLIS Sukan Negara (MSN) memperkasakan usaha mewujudkan persekitaran selamat untuk arena sukan negara menerusi program latihan khas untuk pegawai-pegawai ‘focal point’ Kod Sukan Selamat.
Program latihan yang disertai 92 pegawai daripada 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim di Kuala Lumpur pada Isnin.
MSN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa matlamat program itu adalah untuk menyiapkan pegawai ‘focal point’ yang bertanggungjawab menjadi ejen kesedaran dan menerapkan elemen pendidikan sukan selamat kepada atlet-altet di pelbagai peringkat.
“Menerusi program latihan selama dua hari ini, pengetahuan dan pemahaman pegawai-pegawai diperkasakan dalam aspek mengenal pasti kesalahan dan risiko, tata cara pengelolaan aduan, pelaporan kes serta aktiviti meningkatkan kesedaran dan mendidik penggiat sukan terhadap persekitaran sukan yang selamat.
“Ia selari dengan kerangka ‘Safe Sports Framework’ yang ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menekankan tanggungjawab kolektif daripada akar umbi sukan sehinggalah ke peringkat kebangsaan,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
Program tersebut selaras dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyasarkan matlamat untuk membentuk jaringan yang cekap dan responsif dalam kalangan pegawai-pegawai ‘focal point’.
“Ia untuk memastikan supaya kesedaran terhadap sukan selamat meningkat dan penurunan ketara insiden gangguan serta penderaan atlet-atlet berjaya dihasilkan,” ujar kenyataan itu.