Pegawai imigresen simpan RM1.5 juta wang rasuah dalam Tabung Haji, ASB – SPRM

Pegawai imigresen simpan RM1.5 juta wang rasuah dalam Tabung Haji, ASB – SPRM


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bagi menutup kegiatan rasuahnya, seorang pegawai imigresen menyimpan RM1.5 juta wang haram dalam akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebelum kegiatan itu terbongkar hasil serbuan Op Rentas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Menurut SPRM, hasil siasatan mendapati lebih RM1 juta ditemukan dalam akaun Tabung Haji atas nama suspek, isteri dan anaknya, manakala lebih RM400,000 disimpan dalam akaun ASB.

“Selain itu, turut dirampas daripada suspek ialah barang kemas dianggarkan bernilai RM60,000 serta wang tunai berjumlah RM13,900,” menurut kenyataan SPRM di TikTok, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM150,000, termasuk RM125,000 yang ditemukan di atas bumbung rumah seorang pegawai imigresen wanita serta barang kemas bernilai kira-kira RM15,000.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan, SPRM seorang lagi suspek wanita didapati menyimpan barang kemas bernilai anggaran RM80,000 serta wang tunai berjumlah RM41,470 dan 13,300 baht (RM418.68).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, ketiga-tiga suspek disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting dan mereka dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Katanya, ketiga-tiga kakitangan Jabatan Imigresen itu ditahan dalam Op Rentas dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lalu.

Akhbar ini semalam mendedahkan pegawai penguat kuasa yang ditahan SPRM menerima rasuah secara purata mampu mencecah RM50,000 sebulan bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Susulan itu, SPRM membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.

Selain pembekuan semua akaun terdiri daripada 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat itu, wang tunai berjumlah lebih RM200,000 turut disita menerusi Op Rentas berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top