June 24, 2024

Pegawai LHDN parah, tayar lori tercabut kena kereta


KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) cedera parah selepas kereta dipandunya terkena tayar lori yang tercabut di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mangsa lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kejadian pada Isnin lalu.

Siasatan awal polis mendapati insiden kemalangan itu berlaku pukul 6.40 pagi pada 20 Mei lalu.

“Semasa kejadian, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 50 tahun sedang menuju dari arah Rawang menghala ke Sungai Besi.

“Tiba-tiba dua tayar lori itu tercabut dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terkena dua kereta jenis Proton Saga dan Proton Iriz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Suffian, kereta Proton Iriz yang dipandu dari arah Jalan Mahameru menghala ke Jalan Duta semasa kejadian itu tidak sempat mengelak dan terlanggar tayar tercabut itu sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan.

“Ia telah mengakibatkan pemandunya mengalami kecederaan parah di kepala telah dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut.

“Manakala pemandu kereta Proton Saga berusia 33 tahun terselamat daripada mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Izan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pukul 7.06 pagi mengenai kejadian nahas itu.

Bertindak atas maklumat itu, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian untuk Tindakan sewajarnya.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati tayar sebuah lori tercabut lalu terkena dua buah kereta iaitu jenis Proton Iriz dan Proton Saga.

“Pemandu kereta Proton Iriz yang tersepit berjaya dikeluarkan pukul 7.41 pagi oleh pasukan bomba menggunakan pemotong hidraulik.

Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi satu minit 13 saat memaparkan kenderaan Proton Iriz mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung hadapan tular di media sosial. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top