am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang pegawai penyiasat hari ini menafikan pernah menerima dokumen penting berupa kertas A4 yang didakwa mengandungi pengakuan 13 remaja berhubung kes kematian pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan.
Penafian itu dibuat oleh Asisten Superintendan Sudin Tjinke ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan terakhir di Mahkamah Tinggi di sini, dalam perbicaraan peringkat bela diri membabitkan 13 remaja terbabit.
Sudin yang juga saksi ke-18 (terakhir) pembelaan, Asisten menyatakan beliau hanya dimaklumkan dan mengetahui kewujudan dokumen itu pada hari perbicaraan peringkat bela diri, hari ini.
Beliau yang juga saksi terakhir pendakwaan sebelum ini, dipanggil semula oleh pihak pembelaan untuk memberi keterangan lanjut berhubung dokumen berkenaan.
“Saya tidak pernah menerima dokumen itu semasa menjalankan siasatan,” katanya ketika disoal oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki ketika pemeriksaan utama di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Isu kertas A4 itu timbul selepas pasukan pembelaan melalui keterangan saksi ke-16 iaitu guru disiplin Kolej Vokasional Lahad Datu, Cikgu Mohd Ferdaus, yang mengakui ada menyerahkan dokumen terbabit kepada pihak polis.
Kamarudin: Adakah kamu melihat sebarang dokumen dalam kertas A4 oleh 13 pelajar yang telah sedia ada ketika kamu sampai di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 22.3.24?
Saksi: Tidak ada lihat.
Kamarudin: Adakah cikgu Kolej Vokasional Lahad Datu berikan kertas A4 yang dibuat oleh 13 pelajar kepada kamu?
Saksi: Tidak ada.
Kamarudin: Adakah kamu dimaklumkan bahawa cikgu Ferdaus mengarahkan 13 pelajar menulis keterangan dalam kertas A4?
Saksi: Tidak ada. Saya juga tidak pernah rakam keterangan cikgu Ferdaus.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif, beliau juga menyatakan tidak merakam keterangan seorang lagi guru, iaitu Cikgu Rahina, kerana tiada keperluan selain beranggapan saksi itu tidak penting.
Sebaik saksi terakhir pembelaan itu selesai memberi keterangan, Hakim Duncan menetapkan 29 April untuk pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis, manakala 6 Mei untuk pihak pembelaan mengemukakan hujahan balas.
Selain itu, mahkamah turut menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh clarification date untuk mana-mana pihak memberikan atau memohon penjelasan lanjut berkenaan sesuatu keputusan, hujahan, atau isu tertentu sebelum mahkamah menetapkan tarikh keputusan.
Sepanjang perbicaraan peringkat bela diri selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu, seramai 18 saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk kesemua 13 remaja yang memberi keterangan bersumpah di kandang saksi, serta tiga saksi awam termasuk ibu dan bapa salah seorang tertuduh, dan seorang peniaga gerai makan berhampiran kolej.
Berikutan itu, Hakim Duncan turut melapangkan tarikh perbicaraan 16 dan 17 yang ditetapkan sebelum ini, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam perbicaraan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd