Pegawai SPRM terima pengiktirafan profesional AI, pengurusan data

Pegawai SPRM terima pengiktirafan profesional AI, pengurusan data


mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Dua pegawai Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lukman Hakim Zainal dan Hasrol Hissam Osman berjaya menerima pensijilan profesional Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengurusan Data daripada HCL Technologies Limited (HCLTech), India.

Pegawai terbabit menamatkan program latihan profesional bertaraf antarabangsa iaitu “Accelerated Course for Competency Excellence: Innovative AI and Data Solutions for Public Sector Professionals” yang berlangsung selama enam bulan dari 11 November 2024 hingga 23 Mei 2025 di Chennai, Bangalore dan Hyderabad, India.

Dalam program itu, Lukman Hakim membangunkan projek akhir “Sentinel: MACC AI Criminal Intelligence Analytics” – sebuah sistem pintar berasaskan AI yang berupaya menganalisis data/maklumat tidak berstruktur, menjana peta jaringan entiti dan menghasilkan paparan visual yang membantu dalam operasi termasuk pengurusan maklumat risikan.

Melalui pembangunan projek itu, beliau menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Program iaitu “Data Innovation Award” pada Majlis Penutup Program yang berlangsung di IEG Campus, Kuala Lumpur pada 21 Mei 2025.

Program latihan profesional ini adalah kerjasama strategik kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), IEG Campus dan HCLTech India bertujuan meningkatkan keupayaan transformasi digital dalam sektor awam melalui aplikasi teknologi AI, Data Science & Data Management.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kedua-dua pegawai di atas kejayaan menamatkan latihan ini dengan cemerlang seterusnya mengharumkan nama SPRM di peringkat nasional dan antarabangsa.

SPRM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan, JPA, UNIRAZAK, IEG Campus dan HCLTech atas penganjuran program ini yang membuka jalan ke arah pembangunan cara kerja lebih efisien, telus dan berteknologi tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top