mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Pegawai pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan salah guna dana dirakam keterangan hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai itu dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 11 pagi ini untuk melengkapkan siasatan berhubung isu salah guna dana.
“Hari ini kita panggil beliau untuk membantu siasatan dan rakaman percakapan bermula jam 11 pagi tadi.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun rakaman percakapan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azam berkata, setakat ini, hanya beliau seorang yang dipanggil bagi merakamkan percakapan.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lagi pegawai pengurusan tertinggi ATM disiasat SPRM dan akan dituduh dalam masa terdekat berkaitan isu rasuah.
Azam dilaporkan berkata, siasatan membabitkan individu terbabit sudah sampai ke penghujung dan jika dipersetujui Peguam Negara, pegawai pengurusan tertinggi terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






