KUAlA LUMPUR – Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI) ketika ini biar pun Amerika Syarikat (AS) dan China sedang mendahului persaingan revolusi itu.
Timbalan Presiden, Persatuan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia, Ts. Datuk Sri Ganes Palaniapan berkata, Malaysia perlu mewujudkan bakat peneraju yang mampu memacu penyelesaian AI berimpak tinggi bukan sekadar mengikut trend semasa.
Beliau memberitahu, selain menjadi destinasi utama pusat data dan ekosistem AI, Pejabat AI Kebangsaan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mampu menjadikan Malaysia sebagai peneraju AI di rantau Asia Tenggara.
“Namun realitinya, apa yang didepani Malaysia adalah, kita masih lagi tertumpu untuk menjadi pengguna AI dan bukannya membangunkan bakat peneraju penyelesaian AI.
“Malaysia tidak boleh berada pada garisan ini untuk tempoh lama kerana ia akan meletakkan negara berisiko ketinggalan dalam pelumbaan AI di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Gobind Singh Deo baru-baru ini mengumumkan Kabinet telah meluluskan pembukaan Pejabat AI Kebangsaan di bawah seliaan MyDigital Corporation yang akan beroperasi bermula November ini.
Mengorak langkah ke hadapan, Sri Ganes berkata, kerajaan perlu bersedia untuk melabur bagi mewujudkan bakat yang mampan, selari dengan keperluan semasa dan masa akan datang.
“Ia penting untuk membezakan antara pengguna dan pembangun penyelesaian AI. Antara sektor yang memerlukan penyelesaian, sama ada di peringkat tempatan atau global, adalah isu kemampanan alam sekitar, penjagaan kesihatan, dan industri automasi,” ujarnya.
Menurut beliau, teknologi AI berpotensi menjana pendapatan sehingga RM625 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merentasi pelbagai sektor menjelang 2030.
Jelasnya, di peringkat global pula, pelaburan dalam AI dijangka melonjak daripada AS$207.9 bilion (RM902 bilion) pada 2023 kepada AS$1.8 trilion (RM7.81 trilion) pada tempoh itu. – MalaysiaGazette