PETALING JAYA: Pejabat Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hanya dikemaskan untuk sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri pada 28 April lalu.
Bekas Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Ekonomi, Najib Bakar berkata, anggota polis dari Cawangan Khas (SB) melawat kementerian tersebut pada 27 April lalu untuk menyemak maklumat sama ada Rafizi akan meletak jawatan.
“Pada 27 April lalu, memang ramai SB masuk ke kementerian untuk semak betul atau tidak Rafizi dah kemas pejabat.
“Tak tahulah mereka dengar spekulasi dari mana, agaknya dari ‘sumber tak dinamakan’.
“Sebenarnya ya, memang pejabat Menteri dikemaskan tetapi sebagai persiapan jamuan raya Pejabat Menteri pada 28 April lalu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Semalam, Nurul Izzah berkata dia menerima maklumat Rafizi bukan sahaja mengambil cuti dan mengosongkan pejabatnya, malah turut menyediakan sepucuk surat perletakan jawatan.
Menurut Izzah, perkara ini berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat cabang yang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi, serta pimpinan lain di peringkat akar umbi.-UTUSAN