Pejuang kanser dinobat juara Kilauan Emas 2024

Pejuang kanser dinobat juara Kilauan Emas 2024


SHAH ALAM: Peserta asal Johor yang juga pejuang kanser payudara, Gie, dinobatkan sebagai juara pertandingan Kilauan Emas 2024.

Kemenangan penuh inspirasi itu melayakkan Gie atau nama sebenarnya Roziah Abd Hamid membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM30,000, trofi, pakej umrah dan percutian istimewa tiga hari dua malam di Port Dickson.

Bukan itu sahaja, selepas lapan minggu berentap, Gie turut membawa pulang gelaran Pemenang Emas Berkilau Of The Week pertama kali hasil undian daripada peminat.

Ketika berentap di pentas akhir malam tadi, Gie menyanyikan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan dan Jangan Menangis Sayang duet bersama Sidi.

“Terima kasih kepada semua, mak, suami dan peminat saya. Tidak jemu menyokong saya, hanya Allah yang boleh membalas.

“Walaupun abang tiada (di pertandingan), saya sudah dapat gelaran juara,” katanya sejurus menerima trofi kemenangan.

Manakala, tempat kedua disandang oleh Sidi melayakkanya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, pakej umrah dan tajaan penginapan tiga hari dua malam di Port Dickson.

Mengisi tempat ketiga ialah Ina membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000, trofi, pakej umrah dan tajaan penginapan tiga hari dua malam di Port Dickson.

Bagaimanapun, Sue selesa di tempat keempat diikuti Wan di tempat kelima dan Ron di tempat keenam.

Masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan pakej penginapan di Port Dickson.

Kesemua peserta diadili oleh Erra Fazira, Datuk Hattan dan Edry Abdul Halim.

Kilauan Emas 2024 menampilkan Elly Mazlein sebagai pengacara program utama, serta pelawak dan pelakon Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas dan diari Kilauan Emas. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top