Sidon, Lubnan: Tentera Israel membunuh seorang pejuang kanan sayap bersenjata Fatah pada Rabu dalam serangan ke atas Lubnan, membawa kepada anggapan daripada pergerakan Palestin itu bahawa Israel cuba mencetuskan perang serantau.
Fatah berpangkalan di Tebing Barat yang diduduki Israel dan kumpulan itu berkata, pejuang kanannya Khalil Maqdah meninggal dunia dalam serangan berhampiran bandar Sidon di selatan Lubnan.
Tentera Israel berkata, ia menyasarkan saudara kepada Mounir Maqdah, yang mengetuai cabang sayap bersenjata Fatah di Lubnan.
Rejim Israel menuduh mereka berdua “mengarahkan serangan dan menyeludup senjata” ke Tebing Barat dan bekerjasama dengan Pengawal Revolusi Iran.
Fatah yang diketuai Presiden Palestin Mahmud Abbas dan seterunya, Hamas di Semenanjung Gaza, menyifatkan Israel cuba mencetuskan perang yang lebih meluas.
Pembunuhan Maqdah menandakan serangan pertama seumpama itu ke atas anggota kanan Fatah dalam lebih 10 bulan pertempuran rentas sempadan antara Israel dan gerakan Hizbullah Lubnan semasa perang Gaza.
“Pembunuhan pegawai Fatah adalah bukti lanjut bahawa Israel mahu mencetuskan perang besar-besaran di rantau ini,” kata Tawfiq Tirawy, ahli jawatankuasa pusat Fatah, kepada AFP di Ramallah.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengadakan lawatan ke Timur Tengah yang bertujuan mencapai gencatan senjata dalam perang Israel-Hamas di Gaza, namun nampaknya sekali lagi pulang dengan ‘tangan kosong’.
Ketika ketegangan semakin memuncak, kementerian kesihatan Lubnan berkata, sebelum ini serangan Israel di timur negara itu membunuh seorang dan mencederakan 20 mangsa, ia terjadi beberapa jam selepas empat terbunuh di selatan.
Serangan rentas sempadan berlaku hampir setiap hari antara Israel dan Hizbullah Lubnan, tetapi kebimbangan terhadap krisis yang lebih besar meningkat apabila pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, terbunuh ketika lawatan di Tehran pada 31 Julai lalu.
Iran sudah berikrar membalas, menyalahkan Israel atas pembunuhan itu, tetapi menangguhkan ‘pembalasan’ setakat ini, dengan AS menghantar pasukan tambahan dan memberi amaran perang yang lebih luas boleh memusnahkan prospek untuk gencatan senjata Gaza.
Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer menggesa Lubnan untuk “menyingkirkan diri” dari perjuangan Hizbullah.
“Lubnan akan bertanggungjawab terhadap keganasan yang berpunca berasal dari wilayahnya sendiri sama ada ia menguasai Hizbullah atau tidak,” kata Mencer.
Sementara itu, Gaza sekali lagi digegarkan oleh serangan udara tentera rejim Israel, menurut wartawan AFP, responden pertama dan saksi.
Tentera Israel berkata, ia menyerang kira-kira 30 sasaran di seluruh Gaza dan mendakwa bahawa tenteranya “menghapuskan berpuluh-puluh (pejuang) Hamas”.
Namun, agensi pertahanan awam Gaza berkata, dua orang terbunuh dan 10 kanak-kanak cedera dalam serangan Israel ke atas pusat perlindungan di sekolah.
Tentera Israel mendakwa, tentera udaranya “menjalankan serangan tepat ke atas Hamas yang beroperasi di dalam pusat arahan dan kawalan” yang terletak di perkarangan sekolah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd