Seorang pekerja syarikat D’Herbs Terlajak Laris milik pasangan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida meluahkan rasa syukur apabila menerima peluang menunaikan ibadah umrah pada tahun ini.
Menerusi perkongsian di platform Threads, individu dikenali sebagai Bashirah Azmi berkongsi kegembiraan atas rezeki yang diterimanya itu.
Menurut Bashirah, peluang berkenaan bukan sekadar ganjaran biasa, sebaliknya satu pengalaman bermakna yang mencerminkan budaya kerja positif di syarikat berkenaan.
“Alhamdulillah, terima kasih datuk dan datin. Kerja bukan sekadar tentang gaji, tetapi juga tentang berada dalam persekitaran yang sihat, saling menghormati, menghargai dan ada peluang untuk perkembangan kerjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Bashirah turut menegaskan suasana kerja yang baik menjadi faktor utama seseorang pekerja kekal lama dalam sesebuah syarikat.
“Tempat kerja yang baik membuatkan kita kekal bukan kerana kita terpaksa, tetapi kerana kita benar-benar mahu,” ujarnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian rata-rata netizen yang memuji pendekatan Aliff dan isterinya, Shahida dalam menghargai pekerja.





