Pekerja Bangladesh maut, dua warga Pakistan cedera bangunan runtuh

Pekerja Bangladesh maut, dua warga Pakistan cedera bangunan runtuh


MELAKA – Seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa maut dikenali Jidan, 22, yang ditemukan tersepit dengan kecederaan pinggang ke bawah.

“Mangsa ditemukan tersepit kira-kira pukul 9.55 malam dan ketika ini setakat pukul 11.50 malam, usaha mengeluarkan mangsa masih lagi dijalankan dengan bantuan pasukan penyelamat.

“Sebelum itu, dua warga Pakistan masing-masing berusia 32 dan 49 tahun berjaya dikeluarkan dari celahan runtuhan tingkat satu bangunan itu pada pukul 6.40 petang dan 8.45 malam,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini malam ini.

Anggota bomba dan penyelamat melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian ketiga-tiga pekerja warga asing berkenaan sedang melakukan kerja-kerja membuka stagging konkrit sebelum terperangkap dalam runtuhan itu.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka R. Saiful Iswandy R. Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.18 petang sebelum tiba 10 minit kemudian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka R. Saiful Iswandy R. Hassan

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati keseluruhan tingkat lantai tingkat satu bangunan berukuran 60 x 80 kaki itu runtuh menghempap lantai bawah yang sedang dalam pembinaan.

“Operasi dengan kekuatan 81 pegawai dan anggota berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan kedua dari celahan runtuhan batu dan konkrit,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, operasi menyelamat bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan itu melibatkan kekuatan seramai 81 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu dan BBP Melaka Tengah. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top