Pekerja bertudung bukan ukuran kedai halal

Pekerja bertudung bukan ukuran kedai halal


DALAM dunia moden yang sarat dengan persaingan industri makanan, farmaseutikal, kosmetik dan logistik, profesion eksekutif halal muncul sebagai antara kerjaya yang paling penting bagi menjamin integriti halal dalam rantaian bekalan global.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari bahawa tugas eksekutif halal bukan sekadar mematuhi prosedur atau menyemak dokumen, sebaliknya ia merupakan satu bentuk dakwah melalui pekerjaan.

Pendakwah selebriti, PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail menjelaskan, selain mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan halal-haram, eksekutif halal juga secara tidak langsung menjalankan tugas dakwah di lapangan.

“Eksekutif halal yang berada dalam industri halal merupakan antara golongan yang sangat penting dalam masyarakat hari ini.

PU RIZ

“Ini kerana mereka menentukan apa yang boleh dimakan dan apa yang tidak, khususnya buat umat Islam kerana wajib mencari yang halal.

“Mereka menjadi benteng kepada masyarakat awam yang tidak memahami isu halal sepenuhnya,” katanya ketika membentangkan tajuk Roh halal: Menjunjung semangat dan integriti pengamal halal.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 (PEH25) anjuran Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre yang diadakan di Bangi Avenue Convention Centre, Selangor baru-baru ini.

Ujar PU Riz, pelbagai produk dan restoran yang menyediakan makanan, namun apa yang membezakannya ialah logo halal yang ada di produk atau premis makanan tersebut.

Jelasnya, jika sudah ada logo atau sijil halal yang dipamerkan, ia memberi makluman bahawa sesuatu produk atau makanan itu halal dan suci.

Gantung tengkorak kambing di dapur

“Kadang-kadang kita mendengar kisah pelik di dalam masyarakat. Ada kedai yang menggantung tengkorak kambing di dapur.

“Untuk apa gantung tengkorak kambing di dapur? Walaupun pemiliknya kelihatan ‘alim’, tetapi itu tidak bermakna dia boleh sesuka hati mencampurkan unsur yang tidak sepatutnya, bahkan boleh jadi unsur khurafat pula,” katanya.

Ujarnya, bukan itu sahaja, banyak lagi kisah benar yang berlaku dalam masyarakat berkaitan dengan isu halal dan semua itu terjadi kerana kurangnya pengawasan dan kefahaman.

“Itulah pentingnya eksekutif halal yang memainkan peranan besar dalam memastikan keseluruhan proses itu halal.

“Di sinilah kita boleh lihat dakwah melalui halal, ia mungkin nampak kecil namun memberi impak yang sangat besar buat masyarakat,” hurainya.

Meneruskan hujahnya, PU Riz membawakan sepotong hadis berkenaan halal, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Beliau kemudiannya bertanya, jika kita ragu-ragu sama ada makanan atau produk itu halal atau haram, bagaimana pendekatan yang diajarkan Baginda SAW?

SEBAHAGIAN eksekutif halal yang menyertai Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 di Bangi Avenue Convention Centre baru-baru ini.

SEBAHAGIAN eksekutif halal yang menyertai Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2025 di Bangi Avenue Convention Centre baru-baru ini.

Ujarnya, sambungan daripada hadis tersebut, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Di antara kedua-duanya (halal dan haram), terdapat perkara-perkara syubhat iaitu samar-samar yang tidak diketahui oleh sebahagian manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhat, bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.

“Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana pengembala yang membawa haiwannya di sekitar padang larangan, maka lambat laun haiwan tersebut mungkin akan memasukinya.”

Tudung bukan ukuran halal

Beliau berpesan, panduan sudah ada namun masih ramai yang tidak mengendahkannya terutamanya dalam memilih makanan atau restoran yang mempunyai sijil halal.

“Kita perlu ingat, pelbagai strategi pemasaran dibuat untuk menarik orang ramai terutamanya umat Islam masuk ke dalam restoran mereka.

“Antaranya dengan meletakkan pekerja bertudung. Tudung bukan ukuran halal bagi makanan. Orang kita tengok pekerja bertudung, terus kata kedai ini halal.

“Sedangkan ukuran halal itu adalah memenuhi tuntutan syarak dan di sini sudah tentu prosedur halal yang telah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN),” hurainya.

Beliau berpesan, ajaran Islam sangat menitikkan halal dan haram. Oleh itu sebagai umat Islam, berhati-hatilah dalam mengambil makanan dan elakkan daripada makanan haram serta meragukan (syubhat).

PEKERJA bertudung bukan ukuran sesebuah restoran itu halal, sebaliknya bahan dan semua proses dari awal hingga akhir penyediaan makanan tersebut yang boleh disahkan melalui logo atau sijil halal daripada Jakim. Foto Canva

PEKERJA bertudung bukan ukuran sesebuah restoran itu halal, sebaliknya bahan dan semua proses dari awal hingga akhir penyediaan makanan tersebut yang boleh disahkan melalui logo atau sijil halal daripada Jakim. Foto Canva

“Ini kerana makanan haram dan syubhat itu bukan sahaja memberi kesan kepada tubuh badan, bahkan hati turut terkesan.

“Nabi Muhammad SAW memberi ancaman kepada umatnya dengan menyatakan daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya.

“Ini menggambarkan betapa seriusnya isu halal sehingga mampu mempengaruhi keberkatan hidup dan ketenangan jiwa seseorang,” jelasnya.

PU Riz turut menjelaskan, makanan halal bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah orang yang menjaga sumber makanannya itu wajahnya akan berseri-seri dan terpancar ketenangan padanya.

Ringkasan AI

  • – Dalam dunia moden, profesion eksekutif halal sangat penting untuk menjamin integriti halal dalam rantaian bekalan global
  • – Eksekutif halal bertanggungjawab menentukan halal-haram dan bertindak sebagai pendakwah di lapangan
  • – Logo halal pada produk menandakan produk tersebut halal dan suci
  • – Panduan halal menggariskan yang halal jelas dan yang haram jelas, dengan mengelak perkara syubhat menjaga agama dan kehormatan
  • – Makanan halal mempengaruhi kesihatan fizikal dan ketenangan jiwa, dengan makanan yang bersumber haram berisiko membawa kepada api neraka



Source link

OR

Scroll to Top