Pelabur asing catat aliran keluar bersih RM725.6 juta

Pelabur asing catat aliran keluar bersih RM725.6 juta


PETALING JAYA: Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih selepas minggu sebelumnya mencatat pembelian bersih, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM725.6 juta, menurut MBSB Research.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada semua lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut. 

“Aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat (-RM315.8 juta), diikuti Isnin (-RM168.5 juta), Khamis (-RM138.2 juta), Selasa (-RM100.5 juta) dan Rabu (-RM2.6 juta).

“Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing ialah Perladangan (RM118.6 juta), Pengangkutan dan Logistik (RM95.8 juta) dan REIT (RM46.0 juta),” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih pelabur asing terbesar ialah perkhidmatan kewangan (-RM488 juta), telekomunikasi dan media (-RM147.2 juta) dan hartanah (-RM121.4 juta).

“Institusi tempatan mencatat aliran masuk bersih RM621.1 juta, sekali gus menamatkan lima minggu berturut-turut aliran keluar bersih,” katanya.

Selain itu, pelabur runcit tempatan pula merekodkan aliran masuk bersih RM104.5 juta, kembali kepada pembelian bersih selepas minggu sebelumnya mengalami aliran keluar.

“Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh pelabur runcit tempatan +3.4 peratus, institusi tempatan: +1.0 peratus, pelabur asing: +7.4 peratus,” katanya. -UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top