Pelaburan dalam FashionValet komitmen sokong syarikat Malaysia – Khazanah

Pelaburan dalam FashionValet komitmen sokong syarikat Malaysia – Khazanah


KUALA LUMPUR – Rasional pelaburan Khazanah Nasional (Khazanah) dalam FashionValet adalah berasaskan tema e-dagang luar talian ke dalam talian (Offline-to-Online), serta komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia dan syarikat peringkat awal yang berpontensi.

Menurut Khazanah, ia telah melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam FashionValet pada tahun 2018.

“Pada masa itu, Syarikat (FashionValet) adalah platform e-dagang fesyen tempatan yang berpotensi, dengan lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk di platformnya serta menjangkakan pertumbuhan pendapatan sekitar 60% setiap tahun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Khazanah, dalam tempoh beberapa tahun syarikat tersebut menghadapi cabaran, sebahagian besarnya kesulitan yang timbul disebabkan Covid-19, termasuk rancangan perluasan platform.

Tambahnya, ini menyebabkan FashionValet, di bawah bimbingan Lembaga Pengarah dan pemegang saham, beralih fokus daripada menjadi sebuah platform e-dagang untuk jenama Asia Tenggara kepada mengembangkan jenama milik penuh, Duck dan Lilit, bagi mengekalkan margin operasi dan aliran tunai syarikat.

Khaanah berkata, Fashion Valet juga mengambil langkah untuk merasionalisasi kos dan menyelaraskan operasi, namun terus menghadapi cabaran, termasuk pengumpulan dana dalam persekitaran yang sukar pada tahun 2022-2023.

“Pada akhir tahun 2023, NXBT Partners, yang diterajui seorang usahawan Malaysia yang berpengalaman, menawarkan untuk memperoleh kepentingan pemegang saham sedia ada dan menyuntik modal ke dalam Syarikat.

“Memandangkan syarikat (FashionValet) memerlukan dana dengan segera untuk meneruskan operasi, dan memandangkan pelaburan telah mencapai akhir tempoh pegangan yang disasarkan, Khazanah mempertimbangkan dan menerima tawaran tersebut,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, penjualan itu merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab untuk mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong FashionValet ke arah trajektori pertumbuhan baru.

Sebagai dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah berkata, ia akan terus melabur secara bertanggungjawab dan mengurus aset untuk pulangan pelbagai generasi yang mampan bagi negara.

“Sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia yang berasaskan kerangka ‘A Nation That Creates’, kami kekal komited untuk menjana transformasi syarikat-syarikat Malaysia pelbagai saiz untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, selaras dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan,” katanya.

Tambahnya, Khazanah percaya bahawa ekosistem permulaan adalah penggerak inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Malaysia.

Jelasnya, walaupun terdapat risiko pelaburan dan cabaran yang lebih tinggi dengan FashionValet pada peringkat awal, Khazanah akan terus berdedikasi untuk menyokong syarikat permulaan tempatan dan akan terus bersama mereka sehingga mencapai kejayaan serta pertumbuhan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top