Pelajar 16 tahun pahat rekod dunia atasi catatan Usain Bolt

Pelajar 16 tahun pahat rekod dunia atasi catatan Usain Bolt


Sorato Shimizu catat masa hanya 10 saat (s) dalam Kejohanan Sekolah Menengah Antara Wilayah di Hiroshima pada Ahad.

ATLET remaja Jepun berusia 16 tahun, Sorato Shimizu melakar sensasi apabila mencipta rekod dunia dalam acara 100 meter (m) – catatan terpantas yang pernah diraih pelari bawah 18 tahun.

Bintang pecut itu mencatat masa hanya 10 saat (s) dalam Kejohanan Sekolah Menengah Antara Wilayah di Hiroshima pada Ahad.

Catatan itu sekali gus memadam rekod terdahulu yang dikongsi pelari Amerika, Christian Miller dan bintang Thailand, Puripol Boonson dengan masa 10.06s.

“Saya gembira dapat mencipta rekod sekolah menengah dan bertekad untuk berlari di bawah 10s pada kejohanan akan datang,” ujar Shimizu.

Malah, catatan masa luar biasa Shimizu itu turut mengatasi catatan terbaik Usain Bolt ketika berusia 20 tahun.

Ikon Jamaica itu yang masih memegang rekod dunia keseluruhan acara 100m mencatat masa terbaik peribadi 10.03 saat ketika berusia 20 tahun.

Namun pada ketika itu, tumpuan utama Bolt masih pada acara 200m.

Catatan tersebut juga meletakkan Shimizu di kedudukan kelima sepanjang zaman dalam kalangan atlet Jepun.

Malah dia memegang rekod sekolah menengah kebangsaan Jepun.

Rekod terdahulu iaitu 10.01s bertahan selama 12 tahun yang dicatat Yoshihide Kiryu.

Menerusi kejayaan itu, membuka peluang buat Shimizu beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo pada September ini.

“Saya mahu memberikan yang terbaik pada kejohanan dunia,” katanya.

Catatan masa Shimizu itu telah melepasi had kelayakan untuk menyertai kejohanan berprestij tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top