Pelajar ditawar universiti diminta daftar, rujuk KPT jika bermasalah – Zambry

Pelajar ditawar universiti diminta daftar, rujuk KPT jika bermasalah – Zambry


Kuala Lumpur: Semua pelajar yang ditawarkan tempat ke universiti diminta mendaftar terlebih dahulu dan segera memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekiranya berdepan masalah kewangan atau halangan lain.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata KPT menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuk Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan bantuan awal pengajian Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi yang memerlukan.

“Pesan saya kepada semua yang mendapat tempat sambung pengajian, jika ada sebarang masalah atau kekangan kewangan atau apa-apa saja halangan, tolong hubungi dan maklum dengan saya dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Daftar dulu dan saya telah meminta semua Naib Canselor untuk membantu memudahcarakan semua pelajar untuk mendaftar,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Zambry berkata komitmen kementerian terbukti apabila pihaknya segera membantu dua pelajar dikenali sebagai Ikram dan Fairuz yang masing-masing berkemungkinan menolak tawaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis serta Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah kerana kekangan kewangan dan ketidakmampuan.

Kisah dua orang sepupu itu dikongsikan seorang pengguna Facebook Wan Nurfarahin Wan Roslee yang menandakan (tag) Zambry sebelum pegawai Menteri Pendidikan Tinggi berkenaan segera menghubunginya untuk tindakan lanjut.

Zambry berkata kedua-dua pelajar itu sanggup bekerja sebagai pembantu kedai burger dengan pendapatan RM20 sehari bagi menampung perbelanjaan, walaupun memperoleh keputusan cemerlang di matrikulasi iaitu Ikram Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 dan Fairuz PNGK 3.92.

“Saya mengadakan panggilan video dengan mereka berdua. Saya beri jaminan agar mereka berdua masuk mendaftar belajar. Jangan bimbang soal kewangan, jangan khuatir soal yuran mahupun perbelanjaan persediaan, insya-Allah kita akan bantu dan permudahkan.

Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Wan Nurfarahin yang membantu memberi maklumat hingga membolehkan KPT dan UiTM Machang mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar terbabit dapat mendaftar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top