KLUANG – Parti politik orang India khususnya MIC dan parti-parti lain diseru bersama-sama kerajaan membantu pelajar kaum itu yang tercicir dalam pelajaran untuk meneruskan pengajian menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan membantu mempermudahkan pelajar yang tercicir terutama mereka yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti TVET melalui ujian khas tanpa bertulis.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan pelaksanaan ujian khas itu yang turut disasarkan kepada semua kaum dan akan memulakannya akhir tahun ini.
“Saya dapati dalam SPM lalu, lebih 10,000 pelajar tidak mengambil SPM walaupun berdaftar, saya lihat ada kelemahan di situ, mereka tidak ambil peperiksaan itu sebab tidak ada 3M iaitu membaca, mengira dan menulis.
“Saya mencadangkan supaya MIC dan parti India lain sama-sama dengan saya untuk pastikan jangan berlaku keciciran dalam kalangan murid-murid dan pelajar-pelajar masyarakat India di negara kita.
“Ini juga untuk memberi peluang kepada pelajar India yang keciciran dan tidak minat untuk sambung Tingkatan Empat dan seterusnya.
“Jangan ingat walaupun tanpa SPM, seoalah-olah tidak ada hari esok, seolah-olah tidak ada harapan,” katanya.
Beliau berucap pada program Santai Bersama Masyarakat India di Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Taman Sri Kluang malam tadi.
Program itu mendapat sambutan luar biasa selepas dihadiri kira-kira 5,000 penduduk India selain disertai beberapa pemimpin antaranya Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga akan berbincang dengan kepimpinan MIC untuk mencari jalan supaya dapat menggalakkan lebih ramai pelajar India khususnya yang keciciran dalam pelajaran untuk mengikuti TVET.
Jelasnya, pelajar India masih berpeluang menyambung pengajian ke peringkat universiti menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3 yang diperoleh menerusi TVET meskipun mereka tidak menduduki SPM.
Malah, ujar beliau, seperti diputuskan Kabinet sebelum ini, pelajar yang mendapat sijil SKM Tahap 6, 7 dan 8 menerusi TVET juga adalah sama tarafnya dengan ijazah pertama daripada universiti.
“Kita mesti sediakan ekosistem pendidikan seperti ini kepada pelajar-pelajar ini (yang tercicir)…kerana negara memerlukan pekerja atau guna tenaga dalam kalangan anak-anak muda.
“Syarikat yang melabur dalam negara kita memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tanpa mengira mereka anak Cina, India, Melayu, Kadazan atau kaum-kaum lain untuk bekerja di syarikat mereka,” katanya.
Jelas beliau, usaha itu juga dapat membantu Kerajaan Negeri Johor melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan di zon ekonomi khas yang dilaksanakan di negeri tersebut.
Setakat ini, daripada lebih 70,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan di zon ekonomi khas itu, hanya 50,000 permohonan diterima dan kerajaan negeri memerlukan lebih 20,000 lagi tenaga kerja berkemahiran untuk menyokong zon ekonomi khas tersebut.
“Zon ekonomi khas ini sangat penting sebab Johor sedang menuju sebagai sebuah negeri yang paling maju dan paling banyak mendapat pelaburan asing sekali gus memerlukan pekerja mahir yang boleh diisi anak-anak tempatan yang dilahirkan menerusi TVET,” katanya. – MalaysiaGazette