Jertih: Pelajar Kolej Komuniti Besut menghasilkan video animasi digital bagi membantu memudahkan pembelajaran bahasa isyarat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Besut, di sini.
Pengarah Kolej Komuniti Besut Nik Mohd Kamil Ibrahim@Nik Hanafi berkata, seramai 18 pelajar semester akhir Diploma Animasi 3D, terbabit menghasilkan empat projek khas video animasi pembelajaran itu.
“Projek itu disumbangkan secara eksklusif sebagai bahan bantuan murid agar mereka dapat belajar bahasa isyarat formal dengan lebih cepat melalui tayangan animasi kartun teknologi digital, bagi menarik perhatian dan minat mereka.
“Hasil kolaborasi ini memberi manfaat besar kepada semua pihak, khususnya pelajar Kolej Komuniti kerana dapat mencipta animasi 3D berkualiti bagi membantu murid berkenaan,” katanya selepas majlis perasmian Showcase Cipta 8.0 di Kolej Komuniti Besut, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios Sdn Bhd (Warnakala Studios) Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian, yang juga ahli Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI) Kolej Komuniti Besut.
Warnakala Studios adalah syarikat menghasilkan beberapa produk animasi popular negara termasuk filem Didi & Friends The Movie.
Nik Mohd Kamil berkata, projek animasi itu adalah program tahunan anjuran Unit Animasi 3D Kolej Komuniti Besut untuk pelajar semester akhir mempamerkan hasil karya dan projek dalam bidang animasi digital, reka bentuk 3D dan teknologi interaktif.
“Penganjuran edisi kelapan kali ini bukan sekadar projek tahun akhir, tetapi juga simbol kasih sayang, keprihatinan dan tangggungjawab sosial pelajar terbabit dengan bimbingan pensyarah berpengalaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd