Pelajar kurang berkemampuan berjuang tangani kos sara hidup

Pelajar kurang berkemampuan berjuang tangani kos sara hidup


Kuala Lumpur: Tekanan kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat memaksa sebahagian pelajar universiti daripada golongan keluarga kurang berkemampuan menjalani kehidupan serba jimat, termasuk mencatu makanan dan perbelanjaan harian serta bekerja sambilan sehingga lewat malam demi memastikan kelangsungan pengajian.

Demi mengejar impian segulung ijazah dan mengubah nasib keluarga, ramai pelajar terpaksa berdepan realiti pahit apabila bantuan kewangan yang diterima tidak seiring dengan peningkatan kos makanan, pengangkutan dan keperluan akademik di kampus.

Berkongsi pengalaman, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sharifah Shazfika Syed Mohamed Rahim, 24, berkata perbelanjaan bulanannya sepanjang tempoh pengajian hanya sekitar RM200, memaksanya mengamalkan gaya hidup berhemat.

Pelajar tahun ketiga jurusan kewartawanan itu berkata, tekanan kewangan paling dirasai ketika melaksanakan projek tahun akhir apabila memerlukan perbelanjaan tambahan bagi bahan tugasan dan keperluan akademik.

“Ketika itu, saya benar-benar berjimat. Ada masa saya hanya makan mi segera selama lima hari berturut-turut. Saya juga tidak pulang ke kampung sepanjang semester kerana tiada wang dan hanya tinggal di kolej,” katanya.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, meskipun mempunyai abang dan kakak yang sudah bekerja, dia tidak pernah meminta bantuan kewangan daripada mereka kerana memahami komitmen masing-masing yang sudah berkeluarga.

“Saya hanya bergantung sepenuhnya kepada wang biasiswa untuk meneruskan kehidupan sebagai pelajar,” katanya.

Menurut Sharifah Shazfika, bagi memastikan wang mencukupi sehingga hujung bulan, dia menetapkan had perbelanjaan harian yang ketat, termasuk mengurangkan kos makanan.

“Saya pernah tidak makan nasi dalam tempoh yang lama. Sepanjang belajar, memang ada masa saya hanya makan sekali sehari untuk berjimat,” katanya.

Selain itu, beliau melakukan pelbagai kerja sambilan, termasuk bekerja sebagai pramusaji di sebuah syarikat katering bagi mengumpul simpanan untuk menampung kos projek tahun akhir.

“Saya pernah menangis kerana terlalu bimbang wang tidak mencukupi, namun pada masa sama takut untuk meminta bantuan keluarga kerana tidak mahu menyusahkan mereka,” katanya.

Hasil usaha sendiri


B Tharan Kumar, Pelajar Diploma Kepolisian dan Penyiasatan Jenayah di Goon International College

Situasi sama turut dialami pelajar Diploma Kepolisian dan Penyiasatan Jenayah di Goon International College (GIC), B Tharan Kumar, 22, yang berkata perbelanjaan bulanannya mencecah RM2,000 dan diperoleh sepenuhnya hasil usaha sendiri tanpa sokongan kewangan ibu bapa.

Menurutnya, kursus yang diikuti memerlukan banyak pergerakan bagi urusan temu janji dengan pegawai tertentu selain pembelian modul dan bahan pembelajaran, sekali gus menyebabkan kos pengangkutan menjadi antara perbelanjaan terbesar.

“Saya pernah hanya makan sekali sehari kerana perlu memastikan duit cukup untuk pengangkutan dan pembelajaran. Keluarga pula kadangkala tidak mampu membantu kerana masalah kewangan,” katanya.

Tharan Kumar berkata, ibunya seorang suri rumah manakala bapanya hanya melakukan kerja harian secara sambilan, memaksanya berdikari sepenuhnya bagi menampung keperluan hidup di kampus.

Beliau mengakui, pernah meminjam wang daripada ahli keluarga terdekat selain bekerja sambilan dengan melakukan dua pekerjaan serentak.

“Saya bekerja pada waktu pagi sebagai pegawai pentadbiran di sebuah pasar raya, manakala pada waktu malam pula bekerja di restoran makanan segera.

“Memang penat dan kadang-kadang hilang fokus, tetapi saya cuba uruskan masa sebaik mungkin. Bila terlalu letih, saya rehat supaya boleh teruskan kelas,” katanya.

Menurutnya, tekanan emosi turut dirasai apabila memikirkan masa depan dan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga.

“Ada masa saya tertekan memikirkan langkah seterusnya apabila duit habis dan keluarga pula tiada pendapatan tetap. Ketika itu, saya fikir kerja apa lagi yang boleh dibuat untuk teruskan hidup di kolej,” katanya.


Taufik Haikal Razman, Pelajar kejuruteraan awam tahun ketiga UiTM Shah Alam

Sementara itu, pelajar kejuruteraan awam tahun ketiga UiTM Shah Alam, Taufik Haikal Razman, berkata peningkatan kos sara hidup terus menjadi cabaran utama pelajar universiti, khususnya mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah.

Beliau yang juga Penolong Naib Yang Dipertua Jabatan Kebajikan Mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, berkata situasi itu memberi kesan langsung kepada kebajikan, kesihatan mental dan pencapaian akademik pelajar.

Menurutnya, jabatan kebajikan mahasiswa berperanan sebagai tunjang dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terbela.

“Jabatan kebajikan membantu pelajar untuk isu kecil seperti kemudahan kolej dan pengangkutan sehinggalah isu besar membabitkan kewangan dan kecemasan.

“Kebanyakan pelajar datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan hampir setiap hari kami turun ke padang untuk sesi libat urus bagi mendengar sendiri luahan serta aduan mereka,” katanya.

Taufik berkata, tekanan kos sara hidup yang meliputi harga makanan, pengangkutan dan keperluan harian menjadi punca utama tekanan mental dalam kalangan pelajar.

“Apabila terpaksa mengikat perut, pelajar hilang tumpuan dalam pembelajaran dan sentiasa dibelenggu kebimbangan memikirkan cara mendapatkan wang.

“Akibatnya, ada yang bekerja sambilan hingga lewat malam selain berjimat secara keterlaluan termasuk hanya makan sekali sehari,” katanya.

Tabah teruskan pengajian


Hirman Awang, Ketua Pegawai Eksekutif YPS

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang, berkata sokongan berterusan amat diperlukan bagi memastikan pelajar yang kurang berkemampuan dapat meneruskan pengajian dan menjalani kehidupan kampus dengan lebih sejahtera.

Menurutnya, YPS ditubuhkan sebagai yayasan kebajikan nasional yang memperjuangkan nasib pelajar berpendapatan rendah, khususnya yang terkesan akibat tekanan kos sara hidup dan cabaran pengajian di institusi pengajian tinggi.

“YPS berdepan dengan pelbagai kisah menyayat hati membabitkan pelajar hidup dalam serba kekurangan, namun tetap tabah meneruskan pengajian,” katanya.

Hirman berkata, pihaknya berharap semua pihak termasuk universiti dapat memainkan peranan sebagai mata dan telinga dalam mengenal pasti isu kebajikan pelajar agar tidak terlepas pandang.

“Pelajar tidak seharusnya dibiarkan tertekan atau terabai. Kebajikan mahasiswa perlu dipelihara secara menyeluruh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top