Pelajar Malaysia di Indonesia diingatkan jaga keselamatan, jauhi kawasan rusuhan

Pelajar Malaysia di Indonesia diingatkan jaga keselamatan, jauhi kawasan rusuhan


PETALING JAYA: Kira-kira 1,000 pelajar Malaysia di Indonesia dinasihatkan supaya berwaspada serta menjauhkan diri daripada kawasan rusuhan susulan ketegangan yang tercetus di beberapa wilayah negara itu sejak beberapa hari lalu.

Pihak Education Malaysia Indonesia (EMI) berkata, notis rasmi kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPMI) di peringkat pusat dan cawangan telah dikeluarkan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar terjamin.

Menurut kenyataan itu, semua pelajar diingatkan agar tidak menghampiri atau menyertai sebarang bentuk demonstrasi kerana tindakan sedemikian boleh mengundang risiko yang tidak dijangka.

“PKPMI Pusat dan cawangan turut diarahkan menghantar laporan situasi harian kepada pihak EMI dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi tujuan pemantauan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PKPMI Cawangan Jambi, Ahmad Dhia Hariz Mohd. Rahisham berkata, pihaknya sudah menasihati semua pelajar Malaysia di wilayah berkenaan agar menjauhkan diri daripada kawasan demonstrasi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, meskipun tunjuk perasaan berlaku di beberapa kawasan termasuk Jambi, keadaan di wilayah itu masih terkawal serta tidak menjejaskan keselamatan pelajar Malaysia berbanding situasi di Kepulauan Jawa yang lebih meruncing.

“Kami turut diingatkan oleh pihak EMI dan Duta Besar Malaysia di Jakarta supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti demonstrasi selain diminta sentiasa mengemas kini perkembangan semasa di Jambi,” katanya.

Rusuhan di ibu negara Indonesia semakin memuncak minggu lalu apabila balai polis dan kemudahan awam menjadi sasaran beberapa tindakan vandalisme selepas protes berhari-hari bertukar ganas. 

Pergolakan bermula pada Khamis ketika perhimpunan pekerja di luar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), sebelum memuncak akibat insiden seorang penunggang e-hailing maut dirempuh kenderaan perisai polis yang dikerahkan untuk menyurai penunjuk perasaan.

Insiden itu mencetuskan gelombang kemarahan rakyat sehingga rusuhan merebak ke beberapa bandar utama termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa serta Medan di Sumatera Utara sekali gus dianggap sebagai krisis terburuk sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih tampuk pemerintahan.





Source link

OR

Scroll to Top