am@hmetro.com.my
Bentong: Seorang pelajar tingkatan lima ditahan polis kerana disyaki membuli seorang pelajar tingkatan satu dengan menggunakan puntung rokok di asrama sebuah sekolah di daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek ditahan semalam susulan seorang pelajar berusia 13 tahun melecur di dada akibat didera dengan puntung rokok.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku tengah malam kelmarin di tandas asrama sekolah “Siasatan awal mendapati mangsa didera selepas tidak menuruti arahan suspek supaya menghisap rokok. Ia menyebabkan suspek marah.
“Susulan kejadian itu mangsa memaklumkan kepada warden asrama dan dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan.
“Mangsa mengalami kecederaan di dada dan terdapat kesan lecuran puntung rokok dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi.
Yahaya berkata, susulan kejadian itu keluarga mangsa membuat laporan polis dan suspek ditahan di asrama sekolah terbabit semalam.
“Siasatan sedang dilakukan dan polis akan menemubual beberapa saksi serta mengesan kemungkinan terdapat suspek dan mangsa lain terbabit dalam kejadian itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun, denda dan sebatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






