KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Paip, Klang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa terlibat berusia 21 tahun merupakan pelajar politeknik.
Katanya, dalam kejadian sekitar jam 8.05 pagi itu, mangsa dipercayai baru sebulan mengikuti latihan industri dalam perjalanan ke Subang.
“Siasatan mendapati mangsa telah hilang kawalan sebelum terjatuh di laluan bertentangan.
“Pada masa sama sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 39 tahun dipercayai gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau,, mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette