rnoraina@hmetro.com.my
Gombak: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas dihantar datuknya ke sekolah menengah di Taman Ehsan, Kepong di sini, sejak Rabu lalu.
Difahamkan, kehilangan Wong Yee Xuan disedari kira-kira 12.30 tengah hari ketika datuknya mahu mengambil remaja itu semula.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis menerima laporan yang dibuat lelaki warga emas itu pada hari sama.
“Datuk mangsa mendakwa menghantar remaja itu ke sekolah pada 7 pagi sehingga dia masuk ke dalam pagar sekolah.
“Bagaimanapun selesai sesi persekolahan, lelaki itu mahu mengambil cucunya semula tetapi tidak muncul dan dimaklumkan guru kelas bahawa mangsa tidak hadir ke sekolah,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah kes Orang Hilang (OH).
Katanya, usaha mengesan remaja itu sedang giat dijalankan dan pegawai penyiasat juga sentiasa berhubung dengan datuk mangsa.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan remaja itu dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd