Pelakon Johan Abdullah meninggal dunia

Pelakon Johan Abdullah meninggal dunia


SEREMBAN: Pelakon yang kerap memegang watak individu berbangsa Inggeris dalam filem dan drama tempatan, Johan Abdullah, 76, meninggal dunia kira-kira pukul 7.20 malam tadi.

Mengesahkan perkara itu, isteri Allahyarham, Sarepah Meriam Aboo, 51, berkata, suaminya itu meninggal dunia ketika dirawat di zon merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Menurutnya, Johan dibawa ke hospital itu dari rumah mereka di Taman Mantau Indah di sini selepas mengadu kesukaran untuk bernafas sejak petang.

“Daripada pukul 3 petang, nafasnya terasa pendek dan tersekat-sekat, kemudian jiran membantu dengan menelefon ambulan untuk bawa suami ke hospital.

“Sebelum itu, keadaan dia okay sahaja, boleh duduk dan minum walaupun badan terketar-ketar. Sebelum ini iaitu pada bulan Julai lalu, arwah ada mendapat rawatan dan dimasukkan ke HTJS selama 12 hari akibat keradangan usus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Sarepah Meriam memberitahu, pengurusan jenazah akan dilakukan esok pagi di Surau Al-Amin, Taman Mantau Indah dan dijangka selesai kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Selepas itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale,” menurutnya.

Pada 2021, Utusan Malaysia  melaporkan keadaan Johan yang menderita penyakit angin ahmar dan parkinson.

Akibat penyakit yang dihidapinya itu, pergerakan Johan yang berasal dari Christchurch, New Zealand juga terbatas dan terpaksa banyak bergantung kepada bantuan isterinya itu.

Sedikit menyukarkan, Sarepah Meriam yang hanya seorang suri rumah, menderita pula penyakit cakera teranjak (slipped disc) dan tiroid yang mengganggu aktiviti harian mereka sekeluarga.

Bersama isterinya itu, Johan meninggalkan dua orang cahaya mata iaitu Abdullah Musa, 13, dan Orchid Raihani, 8.-UTUSAN.





Source link

OR

Scroll to Top