Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Terengganu hampir selesai

Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Terengganu hampir selesai


Besut: Terengganu menjadi negeri kedua hampir selesai dibanci menerusi Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) iaitu sebanyak 60.4 peratus selepas Pulau Pinang yang mencatatkan peratusan bancian 65.3 peratus bermula 7 Julai lalu.

Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peratusan itu hasil bancian terhadap 55,815 daripada 92,000 tempat kediaman (TK) yang terbabit dengan aktiviti pertanian, manakala 75.6 peratus atau 363 pertubuhan perniagaan daripada 480 yang terlibat dalam kegiatan sama juga selesai dilawati pembanci.

Beliau berkata, Banci Pertanian 2024 sedang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula 7 Julai lalu dan kini memasuki hari ke-43.

Katanya, bancian berskala besar ini meliputi bancian ke atas isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terbabit dalam aktiviti pertanian iaitu tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur serta pembalakan dan perhutanan.

“Di Terengganu, sebanyak 55,815 kediaman (60.4 peratus) dan 363 pertubuhan perniagaan (75.6 peratus) serta tempat kediaman pertanian pula adalah 19.8 peratus yang terbabit dengan aktiviti pertanian selesai dilawati sehingga 17 Ogos 2024.

“Hasil bancian menunjukkan subsektor tanaman adalah penyumbang tertinggi kepada sektor pertanian iaitu 69.0 peratus, diikuti oleh subsektor ternakan (24.2 peratus), subsektor perikanan (6.5 peratus) dan subsektor perhutanan dan pembalakan (0.2 peratus).

“Daerah Hulu Terengganu merekodkan peratus tempat kediaman selesai dilawati tertinggi iaitu 75.1 peratus, diikuti oleh Kemaman (72.0 peratus), Dungun (69.5 peratus), Kuala Terengganu (63.2 peratus), Besut (60.9 peratus), Setiu (53.3 peratus), Kuala Nerus (46.1 peratus) dan Marang (45.1 peratus),” katanya.

Beliau yang juga Ketua Perangkawan Malaysia demikian ketika melawat tanaman melon manis di Ayana Agrotech Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Tok Dor, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Banci Pertanian, Marlini Sahul Hamid; Pengarah Pertanian Negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Anun Man. 

Sumbang KDNK ketiga terbesar negeri

Mohd Uzir berkata, daerah Besut mencatatkan peratus tempat kediaman pertanian tertinggi iaitu 30.9 peratus, diikuti Hulu Terengganu (30.3 peratus), Setiu (27.7 peratus), Dungun (20.2 peratus), Kemaman (17.8 peratus), Kuala Terengganu (14.3 peratus), Marang (13.3 peratus) dan Kuala Nerus (8.9 peratus).

“Bagi Negeri Terengganu, sektor pertanian penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri iaitu sebanyak 7.5 peratus (RM2.9 billion) pada tahun 2023.

“Subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar dalam sektor pertanian di Terengganu iaitu 58.6 peratus, diikuti subsektor perikanan (15.6 peratus), subsektor ternakan (14.5 peratus) serta subsektor perhutanan dan pembalakan (11.4 peratus).

Katanya, menyedari kepentingan sektor ini, Banci Pertanian 2024 adalah satu usaha penting dalam menilai prestasi industri pertanian di Terengganu.

Perolehan hasil bancian tingkat peluang pelaburan

Perolehan hasil maklumat daripada bancian Pertanian 2024 akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor pertanian kepada orang ramai.

Mohd Uzir berkata, mereka yang berminat untuk mendalami bidang pertanian akan mengguna pakai maklumat bancian yang diperoleh bagi mengkaji potensi sesuatu produk pertanian.

“Setakat ini, pencapaian keseluruhan hasil bancian seluruh negara sudah mencapai 44.3 peratus dengan Pulau Pinang menjadi negeri pertama tertinggi 65.3 peratus diikuti Terengganu 60.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tanaman melon manis di Ayana Agrotech Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Tok Dor di sini.

Jelasnya, pelbagai maklumat data banci antaranya pergantungan sistem jaringan import eksport serta pelbagai perbezaan harga daripada segi kestabilan harga, harga pemborong dan harga jualan membantu dalam proses merancang untuk meningkatkan pendapatan sektor pertanian negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top