Pelan Tindakan Hala Tuju Mitra kemuka 3 cadangan perkasa masyarakat India

Pelan Tindakan Hala Tuju Mitra kemuka 3 cadangan perkasa masyarakat India



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Penubuhan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Masyarakat India antara cadangan dikemukakan dalam Pelan Tindakan Hala Tuju Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Sarawathy Kandasami berkata, cadangan penubuhan majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim penting dalam membuat keputusan berhubung dasar dan peruntukan Mitra.

“Majlis ini dicadang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan keanggotaan ahli majlis akan diputuskan dalam terma rujukan yang akan dibangunkan oleh Mitra.

“Mitra perlu melakukan pendekatan holistik bagi memastikan program yang akan dilaksanakan adalah menepati dengan hala tuju baharu agensi berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sarawathy berkata, pelan tindakan itu turut mencadangkan penubuhan akaun amanah Mitra bertujuan membolehkan baki peruntukan yang tidak dibelanjakan pada tahun semasa, diselaraskan ke dalam akaun berkenaan.

Selain itu, pelan berkenaan mencadangkan supaya struktur organisasi MITRA disusun semula bagi menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dalam membangunkan sosioekonomi B40 masyarakat India.

“Ingin saya jelaskan bahawa Mitra kini di bawah kawal selia Jabatan Perdana Menteri sejak April lalu, namun pelan tindakan hala tuju ini disediakan oleh Kementerian Perpaduan Negara kerana Mitra sebelum ini diletakkan di bawah kementerian ini pada Januari hingga Mac lalu.

“Ketika tempoh itu, kementerian membangunkan pelan tindakan ini untuk memastikan setiap bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat kepada golongan B40 masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata, pelan tindakan terbabit sudah diserahkan kepada Perdana Menteri pada 17 Julai lalu.

“Saya sendiri menyerahkan laporan pelan tindakan ini kepada Perdana Menteri dan beliau memberikan maklum balas yang amat positif,” katanya.

Pelan Tindakan Hala Tuju Mitra dibangunkan berdasarkan empat teras iaitu Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya; Kebajikan Sosial, Kerohanian dan Pembangunan Komuniti serta Pemboleh Daya, Tadbir urus, Pengurusan Projek, Teknologi dan Komunikasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top