Pelantikan Duncan langkah tepat

Pelantikan Duncan langkah tepat


Kuala Lumpur: Pelantikan saintis sukan dari Australia, Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan dilihat sebagai langkah strategik dalam menangani isu ketidakstabilan prestasi skuad Harimau Malaya.

Pensyarah Kanan Sukan dan Rekreasi Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohamad Nizam Nazarudin, menyifatkan keputusan itu sebagai tepat pada masanya, memandangkan prestasi pasukan negara kebelakangan ini sering menunjukkan pola “yo-yo” yang tidak konsisten.

“Pelantikan Duncan bertepatan dengan masa sekarang dan keperluan untuk transformasi dalam pasukan. Jadi kalau ikut berdasarkan pengalaman dalam sains sukan dan analisis prestasi, beliau (Duncan) boleh dikatakan berpengalaman.

“Saya berharap beliau dapat mencadangkan penyelesaian kepada punca ketidakstabilan prestasi pemain. Fokus utama termasuk beban latihan, rehat mencukupi, pemakanan yang sesuai dan aspek psikologi pemain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Nizam menekankan keperluan untuk merangka program pengurusan beban latihan yang sistematik.

Menurutnya ia bertujuan memastikan pemain mampu mencapai prestasi puncak pada waktu yang tepat tanpa risiko keletihan atau penurunan prestasi ketika pertandingan berlangsung.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan mengurangkan risiko kecederaan yang sering menjejaskan konsistensi pasukan serta pemantauan prestasi pemain secara berterusan dan aspek psikologi dan pembangunan jangka panjang.

“Diharapkan Duncan dapat merancang program latihan berstruktur berdasarkan keperluan fisiologi dan keupayaan pemain, selain mengurangkan risiko kecederaan,” kata beliau, yang pernah menjawat Ketua Sains Sukan dan Penganalisis Prestasi Sabah FC dari 2021 hingga 2023.

Beliau turut menekankan kepentingan sikap terbuka semua pihak khususnya pemain terhadap perubahan yang bakal diperkenalkan dalam pasukan.

Sementara itu, Profesor Jabatan Sukan Prestasi Tinggi, Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohar Kassim percaya kehadiran Duncan mampu memberikan impak positif kepada pembangunan bola sepak negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top