Barisan petarung dan pegawai yang memacu kejayaan skuad muay thai Wilayah Persekutuan pada Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan di Bukit Jalil.
KETUA Jurulatih Kuala Lumpur Muaythai Academy (KLMA) Mohd Azmi Yusof bangga dengan prestasi yang dipamerkan anak didiknya apabila meraih 10 pingat pada Kejohanan Sukan Tempur Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata, biarpun sebahagian besar petarung kali pertama menyertai kejohanan besar tersebut, namun mereka memperagakan semangat juang tinggi tanpa mengenal putus asa.
“Hanya segelintir sahaja yang pernah bertanding pada kejohanan ini, manakala sebilangan besar adalah penyertaan kali pertama.
“Menerusi corak latihan yang telah diterapkan para petarung berjaya mengatasi kegugupan di atas gelanggang.
“Hasilnya seramai 10 atlet daripada KLMA mara ke separuh akhir dan lapan pertarung melangkah ke pentas final daripada 32 penyertaan mengikut kategori tertentu,” katanya.
KLMA menyumbang empat pingat emas, empat perak dan dua gangsa.
Pingat emas buat KLMA diraih Farish Hakimi, 12 dan Arisya Sofea, 15, serta dua petarung berusia 11 tahun, Zahirul Haq dan Iman Danial.
Persatuan Muay Thai Wilayah Persekutuan Putrajaya secara keseluruhan meraih 13 pingat iaitu empat pingat emas, lima perak dan empat gangsa daripada 44 penyertaan atlet.
Mohd Azmi juga percaya keazaman serta perancangan rapi Presiden KLMA, SM Fazlie Adni mampu memacu kelab untuk terus ke hadapan dalam misi pembangunan atlet-atlet pelapis.

Mohd Azmi (kiri).
Beliau menambah bahawa kejohanan tersebut merupakan pertandingan peringkat tertinggi di negara ini dan juara setiap kategori merupakan juara kebangsaan kerana perlawanan berlangsung dari pusingan awal hingga ke perlawanan akhir.
“Malah kejohanan ini juga mencabar mental dan fizikal atlet kerana ada kategori yang mempunyai ramai penyertaan menyebabkan petarung terpaksa mengharungi perlawanan dua kali dalam satu hari,” katanya.
Kejayaan kali ini turut dipacu oleh kerjasama strategik dengan Persatuan Muay Thai Wilayah Persekutuan Putrajaya dan disokong penuh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
Malah lebih manis, kejayaan kali ini turut diserikan dengan kemenangan salah seorang jurulatih KLMA dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohamad Shahrul Hakim Rosli yang merangkul gelaran juara perebutan tali pinggang Muay Thai pro.
Kemenangan tersebut turut membakar semangat petarung untuk menjulang nama Wilayah Persekutuan.