Pelarasan jentera saat akhir jejas Hakim Danish

Pelarasan jentera saat akhir jejas Hakim Danish


Hakim Danish (depan) menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 dan meraih enam mata.

PENGURUS pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin menjelaskan pelarasan jentera saat akhir kurang berkesan antara faktor yang menjejaskan keyakinan Hakim Danish Ramli ketika Grand Prix (GP) Perancis 2026 di Litar Le Mans pada Ahad.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu bagaimanapun masih berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 untuk meraih enam mata berharga dalam saingan penuh insiden yang menyaksikan hampir separuh pelumba gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan di litar basah.

Menurut Zulfahmi, Hakim Danish sebenarnya mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang hujung minggu ketika sesi latihan dan kelayakan dalam keadaan litar kering, sekali gus meletakkan jangkaan positif terhadap perlumbaan.

“Pelarasan jentera saat akhir tidak menjadi, sekali gus menjejaskan keyakinan Hakim Danish di litar basah.

“Dalam sesi latihan dan kelayakan, kami berjaya tunjukkan prestasi yang baik dan Hakim berada dalam kelompok kompetitif. Cuma apabila hujan turun, keadaan berubah sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan data perlumbaan dalam keadaan hujan di Le Mans memaksa pasukan membuat pertaruhan terhadap pelarasan jentera, yang akhirnya menjejaskan keyakinan pelumba kelahiran Terengganu itu.

“Sebagai pelumba, apabila menunggang dalam keadaan hujan tanpa ‘feeling’ yang baik terhadap jentera, memang sukar untuk memaksa diri pada tahap maksimum.

“Jadi sasaran kami berubah kepada misi bertahan dan Hakim melakukannya dengan baik,” jelas Zulfahmi.

Hakim Danish yang bermula di petak ke-12 turut mengakui keadaan litar basah menyukarkannya untuk menyerang kelompok hadapan, sekali gus memilih pendekatan lebih berhati-hati bagi mengelak risiko terjatuh.

Dalam perlumbaan penuh mencabar itu, beliau berjaya kekal konsisten ketika ramai pencabar lain terpaksa menamatkan aksi lebih awal akibat kemalangan di beberapa selekoh berisiko tinggi.

Zulfahmi pada masa sama tetap menganggap keputusan di Le Mans sebagai perkembangan positif, dengan keyakinan bahawa pengalaman dalam keadaan sukar itu akan membantu Hakim Danish lebih kompetitif pada pusingan seterusnya di GP Catalunya hujung minggu ini.

Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish kini mengumpul 18 mata keseluruhan dan berada di tangga ke-15 carta kejuaraan Moto3.



Source link

OR

Scroll to Top