Pelarasan subsidi pendidikan, kesihatan beri penjimatan bermakna  – PM

Pelarasan subsidi pendidikan, kesihatan beri penjimatan bermakna  – PM


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, subsidi pendidikan sekiranya dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan berpendapatan 15 peratus teratas boleh digunakan untuk menambah baik prasarana Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk manfaat semua pelajar.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ini, subsidi bagi seorang murid SBP mencecah RM15,000 setahun namun berdasarkan angka terkini, didapati 30 peratus murid di SBP adalah dari keluarga berpendapatan tinggi.

Sedangkan, kata beliau, matlamat asal penubuhan SBP adalah untuk membantu murid cemerlang dan daripada keluarga susah serta di pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

“Begitu juga di peringkat pendidikan tinggi umpamanya purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi ialah RM3,000 berbanding kos keseluruhan pengajian berjumlah RM30,000.

“Subsidi (pendidikan) ini diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, tambah Anwar, penyasaran subsidi juga akan turut melibatkan kesihatan awam yang mana golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital kerajaan.

“Penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam,” katanya.

Petugas farmasi mengambul ubat untuk pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 FEBRUARI 2021.

Terdahulu, Anwar berkata, subsidi daripada segi prinsip seperti mana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan mahakaya.

Selama ini, ujar beliau, negara membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan sehinggalah kepada barangan asas seperti ayam.

Tegas beliau, pendekatan sedemikian pastinya tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak lagi dibelanja secara pukal.

Langkah tersebut, ujar beliau, telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain mengambil contoh penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi elektrik; ayam (RM1.2 bilion) dan diesel (RM4 bilion).

“Maka tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan ini kerana kerajaan akan pertahankan kepentingan rakyat terbanyak.

“Setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top