PELARI ultra wanita dari Hong Kong, Wong Mei Yan melakar kejutan apabila bukan sahaja memenangi kategori wanita 100 kilometer (km) Round Island Ultra-Road, malah turut mengatasi pesaing lelaki untuk muncul pelumba terpantas dalam saingan Langkawi International Ultra Run 2025 yang berakhir pada Ahad.
Dalam penampilan sulungnya di acara ultra lebuh raya, atlet berusia 32 tahun itu menakluki Permata Kedah itu dengan catatan 10 jam 29 minit 38 saat (s) menewaskan dua pencabar terdekatnya, Muhammad Sazuiam Zakaria (10:52:42s) dan Steven Ong (10:54:00s).
“Saya biasa bertanding dalam perlumbaan maraton. Bagi jarak ultra 100km, sebelum ini saya sertai larian denai. Ini adalah kali pertama saya menguji diri dalam 100km lebuh raya.
“Jadi, saya langsung tak jangka boleh tamatkan saingan sebagai peserta terpantas,” kata Mei Yan.
Cabaran utama bagi Mei Yan adalah larian pada waktu malam dan disebabkan berasa tidak selesa, dia memilih untuk tidak memakai lampu kepala dan sebaliknya menggenggam lampu sepanjang perlumbaan.
“Kalau memakainya (lampu) di kepala, ia membuatkan saya berasa tidak selesa. Jadi saya memilih untuk pegang sepanjang jalan. Sekarang kedua-dua belah kaki dan tangan berasa sakit!” ujarnya.
Lebih menarik, penyertaan Mei Yan di Langkawi turut ditemani suami, Wong Wai Chung yang mahu mencuba larian 100km buat kali pertama, namun si suami menarik diri selepas hanya 35km.
“Dia yang nak sertai acara ini, jadi ajak saya untuk turut serta. Tapi dia pula yang DNF (tidak menghabiskan perlumbaan),” katanya.
Pelari ultra tempatan, Ku Seng Lip turut tampil cemerlang apabila muncul sebagai juara dalam kategori 100km gabungan (50km denai+50km lebuh raya) – format yang diperkenalkan buat kali pertama di Malaysia.
Beliau menamatkan cabaran dalam 14:53:59s, mengatasi Wong Wai Seng (17:22:56) dan Lee Yi Siang (17:33:15).
“Kekuatan saya memang di laluan denai, bukan jalan raya. Namun saya tertarik dengan format baharu ini, jadi saya cuba.
“Saya sasarkan tujuh jam untuk segmen denai, tapi ambil masa lapan setengah jam. Apa pun, ini satu cabaran yang menarik dan saya rasa format ini patut diteruskan. Bagi mana-mana pelari ultra, lagi mencabar, lagi menyeronokkan,” katanya.
Acara yang dianjurkan oleh Lumen Sports dan disokong oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu berjaya menarik lebih 1,000 peserta dari 26 negara, menjadikan ia edisi terbesar sejak penganjuran dimulakan.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, acara tersebut sejajar dengan usaha mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
“Acara ini benar-benar mencerminkan visi Naturally Langkawi – menggabungkan keindahan semula jadi pulau kita dengan pengalaman bertaraf global.
“Status Langkawi sebagai Geopark Global UNESCO merupakan sesuatu yang amat kami banggakan dan acara seperti ini menjadi platform terbaik untuk mengetengahkannya kepada dunia.
“Langkawi International Ultra Run telah lama menjadi sebahagian daripada kalendar sukan dan kami berbangga melihat bagaimana ia terus berkembang dari tahun ke tahun,” katanya.