Pelari Sabah unggul tawan denai di Baling

Pelari Sabah unggul tawan denai di Baling


HUJAN yang membasahi bumi Baling, Kedah tidak menghalang pelari Sabah, Wilsen Singgin serta wakil Filipina, Ritzy Amor Ectin untuk mengungguli acara utama 100 kilometer (km) lelaki dan wanita dalam saingan larian denai, ‘The Magnificent Baling 100’ (TMB100) 2025 baru-baru ini.

Wilsen menamatkan cabaran getir meredah denai berlecak dan berlumpur dengan catatan masa 10 jam 35 minit 35 saat, sekali gus mengetepikan dua lagi pelari tempatan, Milton Amat (10:51:47) di tempat kedua dan Yun Huan Sua (11:15:33) di tempat ketiga.

“Acara larian yang menarik. Tidak susah dan tidak juga terlampau senang. Tahun depan ada rezeki mahu datang lagi.

“Kalau ramai kawan lagi meriah. Terima kasih penganjur, media, kru, orang kampung dan budak-budak semua peramah,” katanya.

Sebahagian peserta yang menyertai larian denai TMB100 di Baling. Foto penganjur

Bagi kategori 100km wanita pula menyaksikan Ectin tampil gagah apabila mengungguli saingan dengan masa 15:33:57, diikuti pelari Malaysia, Syarifah Balqis Syed Hamzah (16:47:13) di tempat kedua, manakala pelari Indonesia, Septiana Nia Swastika (17:05:11) menamatkan saingan di tempat ketiga.

Acara yang memasuki edisi ketiga penganjuran itu turut menyaksikan hampir 2,200 peserta mengambil bahagian dalam empat kategori iaitu 10km, 25km, 50kmdan 100km dengan kadar penyertaan tamat larian hampir 90 peratus sekali gus melebihi jangkaan penganjur.

Menurut Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd, Mohd Bukhari Ismail, pencapaian tinggi itu sangat membanggakan memandangkan hujan di awal permulaan kategori 50km dan 100km.

“Pada awalnya kami jangka hanya 80 hingga 85 peratus peserta mampu menamatkan larian kerana keadaan cuaca, laluan denai yang berlecak dan suhu sejuk yang meningkatkan risiko kecederaan. Tetapi, keputusan ini membuktikan peserta benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Selain kategori utama, pelari Korea Selatan, Yeonggyun Cho, muncul juara 50km lelaki manakala pelari negara, Mei Sze Chong, menjuarai 50km wanita.

Bagi kategori 25km, kemenangan menjadi milik Khairulamirin Kamarudin (lelaki) dan Masliana Mustafa (wanita), manakala kategori 10km disambar Mohd. Shahril Md. Jusoh (lelaki) dan Fatin Bensulong (wanita).



Source link

OR

Scroll to Top