suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 2,000 orang membanjiri Dataran Merdeka, di sini, setakat 6 petang, hari ini, bagi menghadiri Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza (H4G), sekali gus membuktikan solidariti padu rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Tinjauan Harian Metro mendapati bermula 5 petang, peserta mula berarak ke Dataran Merdeka dari kawasan berhampiran seperti Masjid Jamek, Masjid Negara dan pusat beli-belah di ibu kota sambil membawa bendera Palestin serta sepanduk kecaman terhadap kekejaman Zionis.
Perhimpunan aman itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bersama penyertaan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Malaysia.
Turut hadir dalam perhimpunan itu termasuk Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan aktiviti politik, Chua Tian Chang dan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Perhimpunan itu turut dikawal rapi pihak polis dengan penutupan jalan utama menuju ke Dataran Merdeka bagi memastikan kelancaran dan keselamatan acara.
Difahamkan, himpunan ini bermula pada 4 petang, bertujuan menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim zionis.
Antara acara yang akan diadakan termasuk persembahan nasyid, puisi, sajak dan ‘flashmob’ bagi mengisi sesi pembukaan.
Selain itu, slot pengisian juga termasuk ucapan dan persembahan anak muda, diikuti solat Maghrib, solat hajat dan munajat serta forum khas mengenai Gaza.
Tayangan khas mengenai penderitaan rakyat Gaza juga akan diadakan sebelum ucapan tokoh politik, NGO dan wakil antarabangsa dan diakhiri dengan pembacaan Deklarasi Malaysia Untuk Palestin.
Semalam Harian Metro melaporkan, polis menjangkakan seramai 5,000 peserta akan menyertai Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka, esok.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan orang awam itu akan berkumpul di tiga lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad serta Sogo sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Untuk rekod, media antarabangsa melaporkan, sejak 2 Mac 2025, Israel menutup semua lintasan ke Semenanjung Gaza dan menghalang kemasukan kebanyakan bantuan makanan dan perubatan, menyebabkan kebuluran meluas di wilayah itu.
Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran, kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun meningkat dua kali ganda antara Mac dan Jun akibat sekatan berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd